Mata Hati Yang Berfikir



Mungkin bagi sesetengah orang pada hari ini,mendidik anak-anak tidak lagi menjadi 100% tanggungjawab mereka.Khidmat pembantu rumah memang tidak dapat dinafikan dalam dunia materialistik yang meletakkan nilai ringgit dan sen berada di paras paling atas.Bebanan hidup yang semakin meningkat menjadikan siang dan malam sebagai objektif mencari 'duit lebih 'Cuba lihat pada keseluruhan sistem kehidupan kita pada hari ini,siapakah di rumah yang menyediakan makan dan minum untuk anak-anak kita?(Walaupun air tangan ibu adalah yang terbaik untuk keluarga dan sangat digalakkan)Paling kurang,setidak-tidaknya,ambillah peluang untuk menyuapkan makanan dan minuman kepada anak-anak kita perlahan-lahan sekaligus memudahkan proses penghadaman anak-anak.Melalui perbuatan itu juga,kita dapat mengambil peluang untuk mengajarkan anak-anak kita dengan adab dan tertib makan dan minum yang baik mengikut sunnah,mengajarkan bacaan doa sebelum dan selepas makan dan minum.

Sekiranya pembantu rumah telah mencuci pakaian,ambillah peluang untuk memakaikan anak-anak kita dengan pakaian mereka supaya kita mempunyai masa untuk membelek dan mengesan apa-apa jua kesan kecederaan seperti luka atau lebam di tubuh badan anak-anak akibat bermain,terjatuh dan sebagainya semasa kepergian kita untuk bekerja selain menunjukkan kasih sayang dan belaian kepada mereka.Jika tugas membaikpulih peralatan telah dilakukan oleh pembantu rumah,maka ambillah peluang untuk membawa anak-anak kita ke klinik atau hospital sekiranya mereka mengalami simptom kurang sihat supaya kita boleh mengetahui status kesihatan luaran dan dalaman anak kita dengan sebaik-baiknya.

Cuba lihat pada hari ini,bagaimanakah sistem kebergantungan terhadap pembantu rumah telah melumpuhkan etika dan nilai-nilai murni seperti hilangnya sikap berdikari anak-anak dewasa ini.Sekali-sekala buatlah lawatan mengejut di rumah sewa anak-anak ini supaya kita dapat memantau persekitaran dan tahap kebersihan di dalam rumah yang didiami mereka tanpa pembantu rumah.Tidak dinafikan masih ada yang terdidik dengan baik dan tahu membezakan diantara yang baik dan buruk,bersih dan kotor tetapi kita tidak dapat menolak masih ada segelintir yang 'manja', mengharapkan pembantu rumah semata-mata.Tidak ada salahnya,di setiap hujung minggu kita mengambil peluang bergotong-royong membersihkan rumah bersama anak-anak supaya mereka sejak dari kecil lagi terdidik dengan sikap rajin,pembersih dan lebih bertanggungjawab.Selain daripada itu,kita juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan diantara ibu bapa,anak-anak dan pembantu rumah.Semoga didikan yang diberikan pada hari ini akan melahirkan insan-insan yang berkualiti dari aspek rohani dan jasmani di masa akan datang.

Comments

Popular Posts