Kasih sayang dan cinta





Lamanya tidak berkesempatan menjengah blog.Ketika mengemaskini blog ini,saya teringat tentang kasih sayang dan cinta kepada-Nya.Kasih sayang dan cinta kepada manusia belum tentu membawa bahagia hingga ke syurga tetapi kasih sayang dan cinta kepada-Nya,sudah pasti membawa bahagia hingga ke syurga.Kehidupan ini jika difikirkan kembali,dipenuhi dengan kasih sayang dan cinta-Nya kepada hamba-hambaNya di saat sejak kita diciptakan sehinggalah kita dilahirkan ke dunia dan diraikan pula dengan kasih sayang dan cinta dari kedua ibu bapa dengan setulus hati dan perasaan.


Telenovela kasih sayang dan cinta di kaca-kaca televisyen hanyalah keindahan luaran yang belum tentu membahagiakan dalaman.Begitu juga ceritera-ceritera kasih sayang dan cinta yang terkarang berjela panjangnya di dalam novel-novel sekadar imaginasi yang 'indah khabar dari rupa'.Terlalu banyak berkias tentang kasih sayang dan cinta juga boleh membuatkan manusia menjadi lupa dan alpa terhadap tugasnya sebagai khalifah di muka bumi.Lupa sebagai hamba yang mengabdikan seluruh kasih sayang dan cinta-Nya hanya kepada Yang Maha Esa.Dengan kasih sayang dan cinta kepada-Nya,akan menjaminkan kasih sayang dan cinta-Nya kepada kita hamba-hamba-Nya yang daif dan naif ini.In Shaa Allah,kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat juga akan menjadi milik hamba-hamba-Nya yang tahu untuk bersyukur.Saya teringat kepada kata-kata Profesor Dr.Muhaya Mohamad yang ada menyebut dalam satu artikelnya yang berbunyi,'Tips hendak disayangi oleh orang di sekeliling kita,cari kasih sayang Allah terlebih dahulu,sebab sesiapa yang mendapat kasih sayang Allah akan dapat kasih sayang semua makhluk Allah di langit dan di bumi.'Akhir kata,jangan terlalu banyak bercakap dan berharap akan kasih sayang dan cinta manusia kerana tiada kasih sayang dan cinta yang 'tersempurna' kasih sayang dan cinta Allah S.W.T. kepada hambanya.

Comments

Popular Posts