Jauhi Hasad Dengki


Dalam kehidupan ini, sekiranya kita masih menyimpan perasaan hasad dan dengki, percayalah, kita tidak akan kemana-mana. Dunia akan sentiasa berputar dan tidak akan menunggu kita. Pokok pangkalnya, kita mestilah berubah dan menjauhi sifat-sifat mazmumah di dalam diri. Kita perlu bertukar dari sifat mazmumah kepada sifat mahmudah. Bayangkan, setiap hari jika di hati kita bersarang dengan sifat mazmumah seperti hasad dan dengki, prasangka, benci-membenci, fitnah dan lain-lain sifat yang buruk apa agaknya yang akan berlaku kepada sistem dalaman dan kesihatan kita? 

 

Adakah kita akan berasa bahagia dengan sikap-sikap yang saban waktu akan menodai hati kita dengan titik-titik hitam sehingga tidak lagi berupaya menerima cahaya hidayah? Sampai kepada satu keadaan, sikap mazmumah ini akan memesongkan pemikiran kita yang rasional kepada satu tahap yang tidak rasional dan dipenuhi dengan perasaan emosional. Hidup mereka yang memiliki sifat mazmumah ini hanya memikirkan bagaimanakah hendak menjatuhkan orang itu dan orang ini. Berbalik kepada Surah An Nisa' ayat ke 54 yang bermaksud; "Apakah patut mereka itu dengki kepada manusia disebabkan kelebihan yang Allah berikan kepada mereka?" 

 

Kita perlulah berbalik kepada ajaran Islam yang mengajarkan hamba-hambaNya dengan sifat-sifat yang terpuji dan suka saya untuk memetik 10 sifat mahmudah yang dipetik dari buku Santunan Fitrah karya Dr Harlina Halizah Siraj yang menyebut 10 sifat mahmudah yang mendidik hati hati manusia supaya sentiasa hidup dalam keindahan akhlak iaitu, sifat taubat, khauf(takut), mahabbah(berkasih sayang), zuhud, tawakkal, ikhlas, syukur, redha, sabar dan banyak mengingati kematian.Hanya melalui sifat-sifat mahmudah, segala kekusutan di jiwa akan terlerai seterusnya menemui solusi-solusi terbaik dalam menyelesaikan masalah dan persoalan yang dihadapi berbanding sifat-sifat mazmumah yang membusuk di dalam diri seterusnya menjadikan jiwa semakin kacau dan menyebabkan sistem dalaman dan kesihatan terjejas. 

 

Kepada mangsa hasad dengki, yakini dan percayalah dengan jiwa yang tenang sesungguhnya semua telah ditentukan Allah SWT dan tidak ada manusia yang mampu mengubahnya walau dengan apa cara sekalipun tanpa keizinanNya.Berdoa dan berbaik sangkalah selalu.In Shaa Allah

Comments

Popular Posts