Soal halal dan haram




Bersabda Rasulullah SAW bermaksud: " Hati itu ditempa dengan apa yang dimakan." Makanan yang bersih (halal mengikut syariat Islam) akan menghasilkan hati yang bersih dan bercahaya, manakala, makanan yang kotor (haram dan syubahat) akan menghasilkan hati yang kotor dan gelap. Hati yang kotor dan gelap sukar untuk menerima taufik dan hidayah dari Allah dan menjadikan hati terhijab dari menerima sesuatu kebaikan. Bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud; " Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Bila baik daging itu, baiklah seluruh anggota dan seluruh jasad. Bila jahat dan busuk daging itu, jahatlah seluruh jasad. Ketahuilah, itulah hati." Sementara dalam Surah Al Maidah : 88, Allah SWT berfirman yang maksudnya; Makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu dan bertaqwalah pada Allah yang kamu beriman dengan Nya.


Isu halal dan haram adalah suatu isu yang cukup besar bagi umat Islam. Ia bukan hanya mencakupi urusan makan dan minum tetapi segala-galanya yang samaada disedari atau tidak disedari oleh kita yang bersifat manusiawi serba naif dan lemah ini. Apa yang melanda umat Islam sedikit sebanyak telah membuka mata dan hati kita tentang persoalan halal dan haram. Semenjak bertahun-tahun lamanya, kita mungkin tidak pernah ambil peduli soal apakah yang kita makan dan apakah yang kita minum. Siapakah di sebalik pembuatan sesuatu produk bermula dari awal sehingga ke akhirnya? Di restoran atau kedai makan minum manakah yang kita melangkah masuk asalkan tertera logo halal yang entahkan sah atau tidak? Bagaimanakah soal kebersihan premis dan pekerja yang memproses makanan dan minuman tersebut? Apakah bahan-bahan yang terkandung di dalam pemprosesan makanan dan minuman tersebut berdasarkan label yang tertera? Apakah penjenamaan sesuatu produk itu benar-benar asli seperti penyelewengan bagi jenama bihun cap 'Masjid' tetapi asal usulnya produk itu dikeluarkan oleh bukan Islam. Isunya, trend penggunaan jenama sesuatu produk perlulah suci dan bersih seiring dengan penjenamaan yang digunakan supaya berupaya mencapai standard piawaian halal itu sendiri. 


Kita tidak mahu, trend penggunaan jenama hanya layak digunakan semata-mata untuk mengaut keuntungan kerana majoriti pengguna adalah dalam kalangan Muslim. Melalui sumber-sumber yang berintegriti masakini, masyarakat khususnya umat Islam perlu lebih bersikap proaktif dan selektif dalam memilih makanan dan minuman yang tersedia di pasaran dengan mengambil tahu maklumat halal dan haram serta susur galur pembuatan sesuatu produk itu agar isu halal dan haram ini tidak menjadi isu picisan dan bermusim semata-mata yang boleh diperkotak-katikkan sesuka hati oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab. Kita juga sebagai pengguna terbesar perlu melangkau dengan lebih jauh dengan bertindak sebagai pelopor kepada industri pengeluaran makanan dan minuman supaya kita tidak lagi bergantung kepada pengeluaran produk yang dikeluarkan oleh mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab dengan sewenang-wenangnya dan tidak mengambil peduli soal halal dan haram kerana berpaksikan hanya kepada keuntungan semata-mata dan kita perlulah menyokong produk-produk Muslim yang bertebaran di pasaran kerana keyakinan kita terhadap kesucian dan kebersihan yang digunapakai. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Hanya manusia yang suka mencari alasan akan gagal mencari kebenaran. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Tepuk dada tanya iman.

Comments

Popular Posts