Mempertahankan Cinta





Mempertahankan sesebuah percintaan adalah seperti pertarungan di dalam sesebuah peperangan. Boleh jadi, jika terlalu lama ia akan terasa hambar dan tawar. Boleh juga terjadi, semakin lama semakin indah. Walauapapun situasinya, ia bergantung kepada komitmen dan kesungguhan masing-masing dalam mempertahankan sesebuah mahligai cinta yang telah sekian lama terbina. 


Apakah perbezaan cinta sebelum dan selepas melalui fasa perkahwinan? Sudah tentu banyak bezanya kerana cinta sebelum perkahwinan tidak menuntut banyak komitmen dan tanggungjawab sementara cinta selepas perkahwinan memerlukan komitmen dan tanggungjawab yang tinggi diantara satu sama lain. Warna sebenar pasangan juga hanya dapat diketahui selepas melalui fasa perkahwinan dan suka atau tidak, kita memerlukan penyesuaian waktu untuk melaluinya secara berperingkat. Adalah penting, meletakkan cinta mengikut tempatnya. Sudah pasti, cinta pada Allah adalah yang pertama dan mendahului segala apapun yang berada di muka bumi ini. Dengan meletakkan cinta Allah pada kedudukan yang tertinggi, yakin dan percayalah kepada hasilnya yang sangat menakjubkan. Kita tidak akan mudah kecewa dan berpatah hati dengan meletakkan Allah yang pertama di hati sekiranya jatuh dan tewas dalam percintaan. Kita tidak hidup semata-mata untuk memiliki cinta manusia tetapi kita hidup untuk menakluki makna cinta sebenar kepada Pencipta alam ini, Allah S.W.T. 


Dalam melayari sebuah bahtera perkahwinan, sudah pasti ada pahit dan manisnya, ada suka dan dukanya dan ada 1001 cabaran dan dugaan yang tidak selalunya membuatkan kita untuk tersenyum, tetapi pertimbangkanlah tentang kematangan dan kedewasaan dalam mempertahankan sesebuah bahtera perkahwinan. Adakah didalam kehidupan ini kita hanya memikirkan untuk bersuka-sukaan sahaja sedangkan sebagai hamba Allah, yakinlah dan percayalah bahawa kita akan sentiasa diuji. Janganlah hanya mengharapkan keseronokan semata-mata di dalam sesebuah perkahwinan kerana tanpa sesekali 'ombak dan badai' yang melanda, kita sebenarnya tidak tahu dimanakah tahap kesabaran dan ketabahan kita sebagai suami isteri dan sebenarnya, peristiwa-peristiwa tersebut juga menjadikan harga sebuah perkahwinan semakin mahal dan semakin dihargai.

Comments

Popular Posts