Kisah Sedekah.






Bersedekah merupakan satu amalan yang mulia di sisi Tuhan malahan, disebut juga tangan yang di atas adalah lebih baik dari tangan yang di bawah. Untuk bersedekah, kita tidak perlu menunggu untuk menjadi kaya. Cukup sudah dengan kekayaan hati. Hati yang kaya menjadikan seseorang itu tidak pernah berkira-kira untuk menghulurkan tangan sambil meringankan beban. Adakah bersedekah hanya diukur melalui wang ringgit dan harta benda semata-mata? Bagaimana pula dengan tenaga dan kudrat tulang empat kerat yang digunakan untuk menghulurkan bantuan? Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; Sedekah itu menghapuskan dosa seperti  air memadamkan api. 
( Hadis Riwayat At Tirmidzi )


Sebenarnya, makna sebuah sedekah adalah sangat luas.  Ini dapat dilihat dalam konsep kenduri-kendara suatu ketika dahulu yang mana pada waktu itu, ikatan masyarakat sangat kuat antara satu sama lain dan berbentuk seolah ikatan kekeluargaan yang erat. Sewaktu majlis kenduri-kendara, Makcik Aminah akan membawa setandan pisang, ada yang membawa segenggam beras, gula, kopi dan teh sementara Pakcik Ahmad pula menggunakan tulang empat keratnya   melapah daging lembu, Cik Salmah pula menyenteng lengan baju mencuci pinggan mangkuk. Itu juga dikira sebagai sedekah. 



Kadang-kadang, apabila kita sedang menikmati hidangan di restoran atau warung, acapkali juga kita akan terserempak dengan pengemis yang berkeliaran menadah tangan meminta simpati dan belas ihsan. Tidak salah sekiranya kita turut menjemput pengemis tersebut untuk sama-sama duduk menikmati hidangan bersama kita di meja makan. Apabila kita ke pasar siang pula, atau sekadar berjalan-jalan bersama keluarga bersiar-siar di sepanjang kaki lima kedai atau jalan, kita turut mendapati golongan pengemis berada di mana-mana sambil menadah tangan. Adalah lebih baik sekiranya kita dapat mengadakan 'duit kecil' seringgit dua supaya dapat bersedekah kepada pengemis yang kita tiba-tiba terserempak di jalanan atau kaki lima. Apa yang kita miliki, bukanlah seratus-peratus hak milik kita, apa yang kita ada sedikit sebanyak eloklah dikongsi kepada mereka yang kurang berkemampuan di luar sana agar dapat meringankan beban yang digalas bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Setiap kali kita mendapat upah atau gaji, janganlah kita melupakan golongan-golongan yang kurang bernasib baik di sekeliling kita. Semoga keikhlasan kita dalam menghulurkan tangan dan meringankan beban akan memperolehi ganjaran terbaik di sisi-Nya dan akan menyucikan hati dari noda dan dosa selain menyucikan harta-benda yang kita miliki seterusnya menjadikan kita semakin tenang dan bahagia, In Shaa Allah...

Comments

Popular Posts