Catatan Maya






Kehidupan. Apakah yang perlu dimengertikan dengan sebuah kehidupan? Kita melalui pelbagai fasa dan peringkat di dalam kehidupan ini. Bermula fasa di alam rahim yang gelap gelita, menjadi kanak-kanak yang belum kenal erti putih dan hitam, remaja...dewasa...melalui detik-detik sebagai seorang suami atau isteri, ayah atau ibu seterusnya datuk atau nenek. Fasa kanak-kanak, remaja, dewasa dan menjadi tua. Seterusnya dari fasa sihat kepada fasa uzur dan sakit. Semua yang hidup pasti akan mati dan mati adalah fasa paling akhir di dalam riwayat hayat seorang yang bernama manusia. Itulah kehidupan....dunia yang hanya sementara. Apabila kita melihat sebuah kematian, sedarilah kita bahawa tidak ada satupun harta-benda yang boleh kita bawa ke alam kubur melainkan amalan-amalan baik yang diterima Allah selayaknya. Apabila kita mati, yang tinggal hanyalah sekujur jasad tubuh kaku yang tidak boleh lagi berdiri dengan sendirinya, tetapi mesti diurusi oleh kaum-kerabat, saudara-mara, sahabat handai dan rakan-taulan yang datang berziarah. 

Selama kita hidup, mungkin kita terlalu sibuk bermandikan hujan dan panas untuk mengumpul harta-benda yang tidak lagi bernilai saat terputusnya nyawa dari urat halkum. 


Selama kita hidup, mungkin kita terlalu sibuk mengejar nama dan pangkat hatta gelaran yang pelbagai untuk sanjungan dan menjadi pujaan di mata dan hati manusia, sedangkan ia tidak lagi menjaminkan apa-apa setelah ajal datang menjemput. 


Selama kita hidup, mungkin kita terlalu angkuh dan berprotokol dengan manusia bawahan kita kerana kita berada di atas dan enggan mengakui hakikat roda dunia ini yang sentiasa berputaran siang dan malam. Mungkin hari ini di atas, esok lusa siapa tahu akan jatuh ke bawah pula?


Selama kita hidup, kita mungkin terlalu sibuk melayani karenah dan ragam anak-anak dan pasangan sehingga terlupa terhadap tanggungjawab kepada ibu dan bapa. Kita abaikan mana yang sepatutnya kita utamakan sehingga terlukanya hati dan perasaan insan-insan yang pernah suatu ketika besabung nyawa, bergolak-bergadai demi anak tersayang. 


Selama kita hidup, mungkin kita terlalu banyak bermain-main sehingga terlupa, betapa seriusnya kita membazirkan waktu di dunia ini dengan perkara-perkara lara' yang melalaikan. 

Allahuakbar, alangkah ruginya...apabila kita meninggalkan dunia dengan catatan-catatan kehidupan yang membuatkan kita muflis di akhirat kelak. Muflis yang kekal abadi tanpa perhitungan lagi. 

Mungkinkah.....kita masih belum terlambat untuk memperbaiki catatan amalan-amalan kita yang terbaik buat bekalan di sana nanti. 

Comments

Popular Posts