Suratan Yang Telah Tertulis



Poligami bukanlah sebuah pilihan tetapi poligami adalah Takdir yang telah tertulis. Mengapakah kita mesti menidakkan Takdir poligami seolah menyalahkan Takdir dan ketentuannya? Kita boleh sahaja menerima Takdir Tuhan seandainya ditimpa musibah tertentu seperti sakit, kebuluran, kematian dan sebagainya tetapi mengapakah apabila suami berkahwin lain, kita tidak dapat menerimanya sebagai sebuah Takdir dan ketentuan dari Tuhan? Di manakah ketelusan kita sebagai hambaNya dalam menerima Takdir dan ketentuan Tuhan sebagai salah satu ujian?


 “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)


Sebagai seorang manusia, kita tidak layakpun sebenarnya untuk mempertikaikan ataupun mempersoalkan Takdir dan ketentuan Tuhan dan kita tidak boleh mendahului keputusan Allah S.W.T. kerana keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan kita sebagai hambaNya untuk menerima dengan sepenuh pengharapan dan pergantungan kepadaNya di atas segala ujian yang telah tertulis. Semakin kita mempersoalkan Takdir Tuhan, semakin negatif pemikiran kita sehingga memesongkan akidah yang dipegang.


Sebaliknya, akibat daripada tidak menerima Takdir dan ketentuan dariNya, kita sanggup melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syariat agama dengan mengugut suami supaya menceraikan madu dan sebagainya. Kita juga sanggup memaki hamun dengan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya dihamburkan oleh seseorang yang berakhlak mulia dan beragama. Tidak cukup dengan itu, kita juga sanggup mencanang ke sana dan ke sini keburukan suami dan madu untuk memuaskan hati sendiri yang tidak dapat sama sekali untuk menerima poligami. Kita merasakan diri teraniaya dan tertipu sedangkan sepanjang perkahwinan, suami tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami kepada isteri dan anak-anaknya. Segala kebaikan suami serta-merta ditidakkan dan dinafikan hanya kerana sebuah perkahwinan yang baharu. Segala kebaikan suami tidak dipandang hanya kerana sebuah perkahwinan poligami yang tidak salah disisi Tuhan dan agama. Siapakah sebenarnya yang teraniaya?


Kerana seorang wanita yang memberatkan emosi dari rasional, banyaklah kepincangan yang berlaku. Mereka lebih rela suami melakukan maksiat daripada menghalalkan sebuah hubungan yang suci. Di manakah kita meletakkan nilai cinta dan kasih sayang yang pertama di hati? Ya, kita telah meletakkan cinta dan kasih sayang yang pertama di hati untuk seorang manusia bernama suami berbanding Tuhan yang seharusnya pertama di hati.


Suami dianggap hak mutlak seorang wanita yang terlebih dahulu mencintai dan memilikinya sedangkan suami dibolehkan untuk berkahwin lebih dari seorang. Makanya, wanita yang seterusnya akan dilabel sebagai perampas? Adilkah label itu sekiranya suami adalah seorang yang berkemampuan dari segenap aspek. Hanya kerana naluri seorang lelaki yang jatuh hati lebih dari sekali, dan jatuh hati kepada seorang wanita lain, maka kita dengan pantas melabelkan wanita tersebut sebagai perampas? Siapakah perampas yang sebenarnya sedangkan seorang lelaki boleh sahaja berkahwin lebih dari seorang?


Itulah pentingnya mendidik hati supaya redha terhadap ujian yang telah di Takdirkan supaya hati kita lebih bahagia. Untuk menjadi bahagia, bersyukurlah dengan apa jua Takdir yang telah tertulis kerana setiap Takdir yang telah ditentukan pasti ada hikmah di sebaliknya yang merupakan rahsia Allah. Berbaik sangkalah dengan segala suratan Takdir yang telah ditentukan Allah. Jika kita dari awal telah menolak ujian yang telah di Takdirkan, di manakah letaknya redha Allah kepada kita sebagai hambaNya yang telah menidakkan Takdir tersebut? Bahagiakah kita dengan menolak Takdir tersebut? Ingatlah, ujian akan tetap hadir dan tidak akan berhenti selagi hayat masih di kandung nyawa. 

  

Comments

Popular Posts