Pilihlah Untuk Bahagia




Mengapa mesti melabelkan 'perampas' kepada isteri ke-2, ke-3 dan ke-4 ? dan pelbagai lagi gelaran yang tidak seharusnya diucapkan kepada seseorang yang telah terjebak di dalam poligami? Sebenarnya, tiada istilah 'perampas' di dalam sesebuah perkahwinan poligami sekiranya, poligami dilaksanakan mengikut ajaran Islam dan suami adalah seorang yang bertanggungjawab dalam melaksanakan poligami tanpa gagal kepada isteri dan anak-anak sebelum dan selepas berpoligami. Poligami dibolehkan kepada seorang suami sehingga empat orang, berdasarkan kemampuan dari segala aspek. (Tidak boleh disebut perampas) 

Kerana seorang wanita adalah insan yang bermain dengan emosi dan perasaan, maka tecetuslah prasangka-prasangka negatif yang tidak seharusnya dibenarkan bersarang di dalam hati dan perasaaan serta akal dan pemikiran yang begitu sempurna ciptaannya di sisi Tuhan. Untuk berbalah dan menyalahkan antara satu sama lain sangatlah rugi kerana poligami adalah sebahagian daripada ujian Tuhan yang perlu diredai. Ujian yang hanya sementara cuma di dunia ini yang tidak lama. Bahagia adalah pilihan di tangan sendiri, pilihlah untuk hidup dengan lebih bahagia kerana hidup ini tidak hanya habis di dunia tetapi akan berterusan sehingga ke akhirnya, di sana kelak. Semailah dan tanamlah sebanyak-banyak amal di dunia ini agar kelak di sana kita dapat tuaian hasil yang lebih banyak.

Bersabarlah dan bertabahlah dengan sujud kepada Allah, jatuhkanlah wajah kita di lantai sejadah kerana Tuhan sangat hampir kepada hambaNya yang bersujud kepadaNya. Percayalah, segala sesuatu yang berlaku adalah dengan TakdirNya. Rukun Iman yang ke-6 ada menyebut, Percaya kepada qadak dan qadar. Segala sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya, pasti ada kebaikannya yang kita sendiri tidak nampak dengan mata kasar. Boleh jadi ia masih terhijab dan boleh jadi kita tidak nampak di dunia ini tetapi di akhirat sana, pasti ada keajaiban yang tidak disangka-sangka untuk memuliakan kita. 

Kehidupan ini adalah hadiah dari Tuhan dan ujian adalah warna-warni kehidupan untuk memaknakan sebuah kehidupan dunia yang hanyalah sementara....

Kepada mereka yang di alam poligami, janganlah menyesali segala Takdir yang telah terjadi dan percayalah, pasti ada ganjaran dariNya dan kepada yang gagal , percayalah...Allah sedang merancang sesuatu yang terbaik untuk hamba-hambaNya yang lebih baik dari sebelum. Poligami hanyalah untuk insan yang terpilih. Seorang lelaki yang berjiwa besar, berkaliber dan berwibawa sebagai pemimpin kepada isteri-isterinya dan berani membuat keputusan dengan tegas, dan bukan dengan mengikut telunjuk mana-mana isteri dan keputusan yang dibuat hanyalah kerana Allah dan atas reda Allah bukan kerana untuk memuaskan mana-mana hati isteri. Poligami bukanlah perkara yang boleh diambil mudah, bak kata pepatah, jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Mesti seorang yang berani untuk berterus-terang dengan isteri sekiranya ingin berpoligami dan sudah tentu bukan seorang yang bacul dan pengecut !

Comments

Popular Posts