KEBAHAGIAAN LAHIR DARI KETULUSAN HATI






'Kamu tidak sekali-sekali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi.'
(Surah Ali 'Imran 3:92)

Dalam hidup ini,di kesempatan yang masih bersisa,berilah peluang kepada insan-insan di sekeliling kita yang kurang berkemampuan dengan sedekah semampu yang boleh.Sedekah yang tidak hanya boleh dilabelkan dengan wang ringgit atau material semata-mata tetapi merangkumi lain-lain perkara yang boleh kita kategorikan sebagai sedekah,termasuklah walau dengan seulas senyuman atau tenaga empat kerat yang boleh dikerah.

Kadang-kadang kita terlupa,untuk bahagia...terlebih dahulu kita perlu bahagiakan mereka yang berada di sekeliling kita.Apakah maknanya kekenyangan yang kita perolehi tetapi membiarkan jiran tetangga dalam kelaparan?Ataupun,kita sedang bergelak ketawa tetapi membiarkan jiran tetangga menangis kesedihan?

Dalam komuniti masyarakat serba individualistik dan materialistik ini,adakalanya kita terlepas pandang terhadap isu-isu sosial di sekeliling kita.Cuba kita berfikir seketika,masih adakah jiran tetangga kita yang masih bergelut dengan isu kemiskinan?Jiran tetangga dalam konteks yang disabdakan Rasulullah S.A.W.merupakan 40 buah rumah masing-masing di kiri,kanan,hadapan dan belakang dari rumah kita.Masihkah ada jiran tetangga yang masih belum berkesempatan untuk kita bertegur sapa dan melebarkan tali silaturrahim?

Peranan kita sebagai jiran yang bertanggungjawab,adalah mengenalpasti mereka-mereka yang bergelut dengan kemelaratan hidup ini untuk menghulurkan tangan dan meringankan beban sedaya yang boleh,setidak-tidaknya,mendaftarkan mereka ke badan-badan sosial yang bertanggungjawab seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat,Pusat Zakat,Baitulmal dan sebagainya .

Itu juga boleh dikira sebagai sedekah kerana sekurang-kurangnya kita telah menjadi duta kecil dalam menyelamatkan komuniti di kawasan kita daripada terjerumus ke kancah kebejatan sosial akibat daripada kemelaratan hidup yang tidak berkesudahan.Dengan bantuan tersebut,kita dapat menyambung harapan ibu tunggal untuk membela anak-anaknya, menggalakkan pelajar-pelajar miskin ke sekolah dan memberikan sinar kepada mereka yang kurang upaya dan uzur.

Walaupun kecil sahaja pertolongan itu,tetapi percayalah...akan menerbitkan rasa bahagia dan tenang yang luas,anugerah Allah kerana kita telah membahagiakan mereka yang berada di sekeliling kita hanya dengan sedikit kepekaan di hati.

Bukankah hidup akan lebih bermakna?

Comments

Popular Posts