Di Mana Ibu Dan Ayah?


'Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa.Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu,maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah engkau membentak keduanya,dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik .Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah,"Wahai Tuhanku!Sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil."[Surah Al Isra';17:23-24]






Ayah Dan Ibu

Ayah dan Ibu
Itulah permulaan kami
Dapat melihat bulan dan matahari
Yang dikurniakan dari Ilahi
Ayah dan Ibulah
Mesti dihormati
Ayah dan Ibu
Wali dan juga keramat
Pada mereka kita beri hormat
Bagilah tunjuk ajar dan nasihat
Supaya hidup kita akan selamat

Lagu nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad

Dimanakah kedua ibu dan ayah kita sekarang ketika kita telah berada di puncak dan mercu kejayaan?Bagi seorang anak lelaki yang bergelar suami,di nombor berapakah kedudukan kedua ibu dan ayah anda sekarang ketika anda disisi seorang isteri yang sangat dicintai dan disayangi itu?Bagi seorang anak perempuan yang bergelar isteri dan menantu,di sisi manakah kedua ibu dan ayah mertua anda berbanding ibu dan ayah kandung anda?Subhanallah,Alhamdulillah,Allahhu Akbar...Iman di dada akan menjawab segala-galanya.Semoga kita tidak menjadi seperti si Tanggang derhaka.


'Syurga di bawah telapak kaki bonda'


Ada yang 'melupakan' tanggungjawab sebagai seorang anak kepada kedua ibu dan ayah setelah berada di puncak dan mercu kejayaan.Untuk menelefon bertanya khabar 5 minit setiap hari pun sangat berkira waktu,apatah untuk menjenguk bertanya khabar berita,sedangkan ketika masih kecil,kedua ibu dan ayah tidak pernah 'berkira penat dan lelah' membesarkan anak-anak dengan 1001 kesusahan dan kepayahan.Setiap detik berjaga siang dan malam ketika terdengar teriakan tangis dan lolong anak-anak yang bukan sedikit ragam dan karenahnya.Besar pengorbanan ibu dan ayah,sanggup bergolok bergadai harta dan nyawa demi anak-anak tercinta,ditatang bagai minyak yang penuh.



Tanggungjawab anak lelaki terhadap kedua ibu bapanya tidak pernah terputus dan tidak boleh diabaikan sama sekali walaupun setelah mempunyai tanggungan kepada isteri dan anak-anak selepas berkahwin.Sebagai seorang isteri yang solehah,mengingatkan suami dan mempermudahkan urusannya terhadap tanggungjawab kepada kedua ibu bapa sangatlah mulia dan terpuji.Walau di sisi manapun kita sebagai seorang anak dan menantu,lelaki mahupun perempuan;suami mahupun isteri,berikanlah seluruh kasih sayang kita seikhlasnya tanpa membanding dan membezakan di antara keluarga mertua mahupun keluarga kandung.Sebagaimana kita menyayangi dan mengasihi kedua ibu bapa kandung kita,begitulah hendaknya kita menyayangi dan mengasihi kedua ibu bapa mertua kita. Bukankah itu lebih indah di pandangan mata dan hati?Ingatlah,redha Allah bergantung kepada redha kedua ibu bapa kita.Doa-doa kedua ibu bapa kita adalah doa-doa yang tiada hijabnya dan pasti Allah makbulkan.Bukankah bahagia yang kita cari?


'Dan kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya.Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah,dan menyapihnya dalam usia dua tahun.Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu.Hanya kepada aku,kembalimu.'[Surah Luqman;31:14]











Comments

Popular Posts