Resepi Kebahagiaan






Assalammualaikum buat pengunjung blog yang dihormati...Ini bukan resepi 'chipsmore cookies' atau 'chocolate cupcakes with walnut' ya tuan-tuan dan puan-puan.Tetapi pada hari yang berbahagia ini,marilah kita bercakap tentang 'resepi kebahagiaan.' Apakah resepi kebahagiaan di dalam kehidupan ini?Masih adakah sisa-sisa kebahagiaan di dalam dunia yang  separuhnya adalah bersifat materialistik dan individualistik ini?Untuk menjawab persoalan ini,kita tidak perlu pergi jauh.Lihatlah ke dalam kehidupan kita sehari-hari.Sekiranya kita sentiasa meletakkan elemen kesyukuran adalah yang pertama dan teratas melebihi segalanya,itulah penanda aras kebahagiaan yang kita miliki.Bagaimana mahu bahagia sekiranya kita tidak bersyukur dengan apa yang telah kita miliki sebaliknya masih mahu mengejar apa yang  belum dimiliki?





Orang kata madu itu indah dan manis.Tetapi,hidup dan kehidupan ini tidak akan selalu indah dan manis.Bahkan,mimpi pun adakalanya sangat mengerikan walaupun mimpi sering disinonimkan dengan ayat yang berbunyi..."hidup ini sangat indah bak mimpi".Hidup dan kehidupan ini perlu diterima seadanya dan janganlah hanya mengharapkan keindahan dan kemanisan cuma.Sesekali,hidup dan kehidupan perlu diuji dengan rencah pahit dan maung yang bukan sedikit cabarannya.Bahagia atau tidak,ia berkait rapat dengan dunia dalaman seseorang.Jika dunia dalaman kita sentiasa positif dan bersangka baik,maka begitulah dunia luaran di pandangan kita yang kelihatan baik dan indah.Cubalah lihat di sekeliling kita bagaimana insan-insan yang bahagia dan berjaya beradaptasi dengan persekitaran mereka.Manusia yang bahagia adalah manusia yang berjaya beradaptasi dengan persekitaran dunia luar mereka.Janganlah menjadi manusia yang hanya tahu menyalahkan orang lain dan persekitaran apabila berlaku kegagalan dan kekecewaan di dalam hidupnya.Jadilah manusia yang kebal dan tahan lasak dengan segala rintangan di sekeliling !






Ingatlah,kita dibentuk oleh : apa yang kita fikir,apa yang kita kata,apa yang kita rasa dan apa yang kita lakukan.Segala-galanya adalah doa untuk kita.Input yang positif akan menghasilkan impak yang positif dan input yang negatif akan menghasilkan impak yang negatif.Maka,sentiasalah berusaha untuk rasa bahagia bermula dengan dalaman yang sentiasa positif.Bahagia atau tidak,ia adalah pilihan diri kita sendiri :)




Comments

Popular Posts