Allah bersama mereka yang bersabar



Ujian yang hadir ada di dalam berbagai-bagai bentuk.Ada yang diuji dengan kelaparan,kais pagi dan kais petang.Ada yang diuji dengan perpisahan setelah bertahun-tahun melayari suka-duka bersama sebagai suami dan isteri.Ada yang diuji dengan bencana alam seperti kemarau,tsunami,gempa bumi,ribut taufan dan sebagainya.Ada yang diuji dengan kesakitan berupa penyakit.Ada yang diuji dengan kematian insan-insan yang dikasihi dan dicintai.Adakah ujian itu hanya hadir dalam bentuk kesusahan dan penderitaan semata-mata?Bagaimana dengan ujian-ujian berupa kesenangan dan kebahagiaan seperti kekayaan wang ringgit dan harta benda yang melimpah ruah itu seperti kisahnya Qarun yang tenggelam bersama harta-bendanya akibat kufur terhadap nikmat yang telah Allah swt. berikan?


’Manusia tidak jemu memohon kebaikan,dan jika ditimpa malapetaka,mereka berputus asa dan hilang harapannya.’(Surah Fushshilat,41:49)Begitulah manusia,hanya mampu bertahan ketika senang dan bahagia tetapi tidak mampu bertahan jika susah dan derita.


’Dan apabila Kami berikan nikmat kepada manusia,dia berpaling dan menjauhkan diri(dengan sombong);tetapi apabila ditimpa malapetaka maka dia banyak berdoa.’(Surah Fushshilat,41:51)Jika kita boleh menerima dengan senang hati segala nikmat yang Allah swt. berikan,mengapakah kita tidak boleh berlapang dada dan menerima dengan senang hati segala musibah yang diberikan-Nya?


Allah swt.berfirman;yang maksudnya ‘Dan bukanlah harta dan anak-anakmu yang mendekatkan kamu kepada Kami;melainkan orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan,mereka itulah yang memperoleh balasan berlipat ganda atas apa yang telah mereka kerjakan;dan mereka aman sentosa di tempat-tempat yang tinggi(dalam syurga)’.(Saba’,34:37) Ujian hadir tidak hanya di dalam bentuk duka nestapa dan duka lara tetapi juga di dalam bentuk kesenangan.Di dalam Surah Al Baqarah,Allah swt.berfirman’Dan kami pasti menguji kamu dengan sedikit ketakutan,kelaparan,kekurangan harta,jiwa dan buah-buahan.Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar,(iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah,mereka berkata “Innallillahi wa Inna ilaihi rajiun”(Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali.)(Al Baqarah,2:155-156) 


Apakah kita hanya mengingati-Nya ketika duka tetapi tidak ketika suka?Apakah kita hanya berdoa memohon kasih dan sayang-Nya ketika hanya derita tetapi langsung melupakan-Nya ketika bahagia?Allah swt. berfirman yang maksudnya,’Tidak!barangsiapa menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah,dan dia berbuat baik,dia mendapat pahala di sisi Tuhan-Nya dan tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati.’(Surah Al Baqarah,2:112) Pernahkah kita terfikir ketika dikurniakan dengan nikmat wang ringgit dan harta benda yang melimpah ruah itu sebahagian darinya,adalah bukan milik kita seratus-peratus?Sedangkan nasi yang berada di dalam mulut sekalipun, jika bukan rezeki kita,akan tertumpah ke tanah jua akhirnya.


Kita tidak layak menjadi salah seorang hamba-Nya jika tidak redha dengan bentuk ujian yang diberikan.Setiap ujian hadir bersamanya sebuah hikmah.Hamba-Nya yang terbaik adalah hamba-Nya yang telah ‘lulus’ dengan cemerlangnya di dalam segala bentuk ujian yang telah diberikan sesuai dengan kesanggupannya.Hamba-hamba-Nya yang redha(berbaik sangka dengan-Nya) dan sabar dengan segala ujian,adalah yang terbaik di sisi-Nya.Kala diuji dengan kesenangan,jangan dilupa pada yang hak,yang lebih memerlukan seperti insan-insan yang kurang berkemampuan di sekeliling kita supaya kita tidak menjadi insan yang alpa dan takbur dengan kesenangan tersebut.Semoga Allah swt. mengurniakan rasa bahagia di hati dengan keprihatinan kita yang meraikan insan-insan yang kurang bernasib baik tersebut,In shaa Allah.Kala diuji dengan kesusahan,ingatlah kesusahan tersebut pasti hadir bersamanya dengan sebuah hikmah yang terbaik di sebaliknya.Tidak perlulah berkeluh-kesah,sebaliknya redhalah wahai hati,bersabar,bertawakkal dan berdoa adalah jalan yang terbaik.Bukankah di dalam Al Quran,Allah swt. telah berfirman ‘Wahai orang yang beriman!Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat.Sungguh,Allah berserta orang-orang yang sabar.’(Al Baqarah,2:153)


Comments

Popular Posts