Oh!Labah labah...


Perhatikan labah-labah.
Mengikut ahli araknologi (pengkaji labah-labah), anyaman sesawang sarangnya yang diperbuat daripada sutera (seutas benang protein halus yang dihasilkan oleh haiwan berkenaan melalui hujung abdomennya) didapati 3x ganda lebih kukuh daripada sarang serangga lain-lain. Sementara strukturnya, adalah 5x lebih kuat daripada besi keluli.

Hebat bukan? (Mengingatkan kita kepada PenciptaNya).

Sayangnya, labah-labah hidup sebagai seekor haiwan yang pasif dan bersifat anti sosial; labah-labah tidak mempunyai struktur keluarga lengkap seperti sepasang suami isteri, datuk dan nenek, ibu bapa dan anak-anak.
Labah-labah betina akan membunuh labah-labah jantan setelah selesai proses mengawan. Malah, dijadikan makanan untuk anak-anak yang bakal menetas. Sementara anak labah-labah akan berbunuhan sesama sendiri untuk mendapatkan sumber makanan.

Disebutkan juga, labah-labah betina sanggup mengorbankan kaki dan tangannya untuk dimakan oleh anak-anaknya. Betapa porak perandanya kehidupan mereka anak-beranak. Hilang sudah cinta dan kasih sayang sesama mereka akibat sikap tamak dan mementingkan diri sendiri.
Kita tidak mahu sistem kehidupan yang caca marba seperti ini di dalam sesebuah keluarga. Pada hari ini kita dapati ada suami dan isteri yang tidak lagi memperdulikan kehidupan ibu dan bapa mereka di kampung halaman, apatah lagi menjenguk bertanyakan khabar berita. 

Kisah anak-anak yang terbiar bergelandangan tanpa pembelaan ibubapa, anak-anak yang terbuang, didera mental dan fizikal, dibunuh dan sebagainya dengan 1001 kekejaman yang sukar dimengertikan dengan kewarasan akal dan fikiran sehingga kita terdetik di manakah mereka meletakkan Tuhan di hati ketika melakukan perkara-perkara seperti itu?


Kita tidak mahu kehidupan kosong yang hanya memikirkan apakah yang hendak dimakan dan diminum untuk meneruskan kelangsungan hidup yang belum pasti di keesokan harinya tanpa membekalkan  ilmu dan pendidikan merangkumi kepentingan dunia dan akhirat.

Kehidupan yang bermakna ialah kehidupan yang saling kait-mengait di antara satu sama lain seperti hubungan susur galur yang baik diantara suami dan isteri, datuk dan nenak, ibu dan bapa serta anak-anak. Hubungan yang baik dari dalam akan melahirkan generasi yang baik apabila berada di luar. Impaknya cukup besar dalam mempengaruhi keperibadian dan akhlak pemimpin generasi muda di masa hadapan. In Shaa Allah.

Comments

Popular Posts