Blossom terakhir








Menjadi seorang isteri, seorang ibu yang juga merupakan seorang suri rumahtangga sepenuh masa menuntut seorang wanita untuk menjadi lebih cekal dan tabah. Seorang isteri yang penuh dengan kelembutan dan kasih sayang, menjaga ibu mertuanya yang telah tua, pikun dan nyanyuk tanpa mengenal erti penat dan lelah. Mengasihi ibu mertuanya seperti membelai seorang kanak-kanak kecil yang belum mengerti apa-apa dan dengan sepenuh perhatian. Menyuap makanan dan bermain dengan ibu mertuanya ketika memandikannya di bilik air. Juga,menjadi seorang ibu yang tabah,cekal dan sabar dengan karenah anak-anaknya yang semakin meningkat ke alam kedewasaan itu. Memasak, membasuh dan mengemas rumah tanpa ada ruang untuk berehat walau sesaat pun. Seorang isteri yang tidak pernah merungut walau sedikitpun tentang susur galur kepayahan rutin hidupnya yang bukan sedikit itu. Dia juga seorang isteri dan ibu yang sangat menyukai bunga-bungaan dan seluruh rumahnya dipenuhi dengan bunga 'blossom' yang sentiasa mekar dan mengharum di luar rumah mahupun di dalam rumahnya. Itulah kecintaannya sejak dari dahulu.

Dia melakukan segala-galanya dengan semangatnya yang luar biasa berseorangan di sebalik kesibukan suaminya yang juga seorang doktor di hospital dan sering ditinggalkan anak-anaknya yang langsung tidak sedikitpun menghiraukannya kerana kesibukan masing-masing sehinggalah dia diserang kanser serviks tahap terakhir yang tidak mampu menyelamatkan lagi nyawanya, tatkala itu, suaminya menangis tersedu sedan kerana sering mengabaikannya selama ini. Dia hanya menyuruh isterinya pergi ke klinik biasa mengambil ubat ketika isterinya mengadu sakit sebelum ini. Suaminya berasa kesal kerana tidak dapat membantu menyelamatkan nyawa isterinya sendiri dan isterinya telah berulangkali menaiki bas yang penuh sesak itu untuk mendapatkan ubat penahan sakit yang dianggapnya hanya sakit 'biasa-biasa' sahaja. Suaminya mula menyedari, dia akan kehilangan seorang isteri yang sentiasa menjadi pendorong semangatnya, sentiasa bersama-samanya ketika susah dan senang dan itulah wanita yang sangat dicintainya sepenuh hati dan perasaan. Kehidupan anak-anaknya yang lepas bebas itu akhirnya berubah kepada 360 darjah. Mereka mula sedar, mereka akan kehilangan buat selama-lamanya seorang ibu yang sentiasa mendidik mereka dengan sepenuh perhatian dan kasih sayangnya.

Ketika saat kematiannya hampir tiba, dia telah mewasiatkan banyak perkara termasuk menulis nota tentang bagaimana menghiburkan hati ibu mertuanya dan resepi-resepi kesukaan keluarganya supaya suami dan anak-anaknya nanti akan memanfaatkannya. Akhirnya, apa yang menarik tentang ' The Last Blossom ' adalah hubungan kekeluargaan yang semakin erat selepas si ibu yang juga seorang isteri disahkah kanser dan akan melalui saat kematian. Nilai-nilai kasih sayang, kelembutan, ketabahan dan kesabaran serta pengorbanan yang tiada berpenghujung menjadikan kita semakin hampir dengan sebuah hakikat kehidupan dan semoga nilai-nilai mulia ini menjadi pegangan hidup kita untuk lebih menghargai insan-insan di sekeliling kita yang pasti akan kita rindui setelah ketiadaan mereka nanti.

Comments

Popular Posts