Kesungguhan Bekerja




Melakukan sesuatu pekerjaan merupakan suatu ibadah,Sesuatu pekerjaan perlulah dilakukan dengan sebaik-baiknya dan itulah yang terbaik dan bukannya melakukan sesuatu pekerjaan kerana 'terpaksa' atau 'tiada pilihan'.Disebut di dalam Surah At Taubah yang bermaksud; Dan katakanlah,"Bekerjalah kamu (dengan bersungguh-sungguh), maka Allah akan melihat pekerjaanmu,begitu juga Rasul-Nya dan orang mukmin,dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata,lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan."(9:105) Seorang graduan universiti contohnya apabila tidak mendapat tawaran di dalam bidang-bidang pilihan mengikut pengkhususan pengajiannya,maka apabila terdapat prospek pekerjaan di luar bidangnya,maka usahakanlah untuk melaksanakan pekerjaan tersebut dengan sebaik-baiknya dan bukanlah kerana terpaksa atau tiada pilihan.Seorang usahawan contohnya,apabila mengusahakan perniagaannya,usahakanlah dengan sebaik-baik amalan dalam membantu masyarakat sekeliling dengan menawarkan produk dan perkhidmatan yang mempunyai 'nilai tambah' kepada masyarakat dan tidak semata berteraskan keuntungan ringgit dan sen tanpa mengambil kira halal dan haramnya.

Orang yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan sebaik-baiknya,ialah orang yang akan menemui titik kepuasan dan kebahagiaan yang tertinggi di dalam kehidupannya.Persoalannya?Apakah yang akan berlaku sekiranya kita melakukan sesuatu pekerjaan berdasarkan keterpaksaan dan tiada berpilihan?Setiap hujung bulan,kita hanya mengharapkan 'gaji masuk'.Di setiap penghujung tahun pula,kita mengharapkan 'durian runtuh' seperti bonus,kenaikan gaji dan lain-lain insentif yang difikirkan wajar sebagai habuan berhempas pulas dan bertungkus lumus sepanjang tahun.Benarkah begitu?Impaknya,setiap pekerjaan yang dilakukan tanpa kesungguhan hanya akan mengundang bahana.Contohnya,seorang pengamal perubatan yang bersikap sambil lewa terhadap integriti profesion yang diamanahkan terhadap pesakitnya, berkemungkinan akan mengakibatkan penyakit yang dihidapi pesakitnya semakin parah dan kronik atau lebih malang lagi,akan mengakibatkan penderitaan sepanjang hayatnya atau maut menanti.Seorang pendidik yang tidak berminat dengan profesionnya sebagai seorang pendidik pula,bagaimana mungkin untuk melahirkan pelajar yang berkualiti dari aspek E.Q (Emotional Quality) dan I.Q (Intelligence Quality)?Apatah lagi di dalam era yang serba-serbinya mencabar ini dan memerlukan kekuatan luaran dan dalaman yang sememangnya 'luar biasa'?

Hanya mereka yang berjiwa besar akan melakukan sesuatu pekerjaan dengan sepenuh hati dan bersungguh-sungguh.Teringat saya pada sebuah hadis yang bermaksud,'Sesungguhnya Allah swt suka seseorang pekerja yang apabila ia bekerja,ia meningkatkan mutu kerjanya.'(Hadis Al Baihaqi) Semoga amalan kita di dunia ini akan menjadikan kita hamba-hamba-Nya yang paling berbahagia di sana kelak.Amin.

Comments

Popular Posts