Bacalah Dengan Nama Tuhanmu


Dunia pendidikan pada hari ini terbuka luas tanpa diskriminasi gender,lelaki dan wanita boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi.(Dari aspek pendidikan).Keterbukaan dalam ruang lingkup pendidikan ini telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dengan menyaksikan peluang-peluang pendidikan pelbagai bidang yang dahulunya didominasi kaum lelaki kini turut dipelopori kaum wanita seperti bidang kejuruteraan,keusahawanan,perubatan,ekonomi,astronomi dan sebagainya.Lewat tahun-tahun 1960-an,kempen-kempen pendidikan giat dilancarkan di seluruh negara.Pada masa itu,pembinaan sekolah-sekolah di luar bandar dan biasiswa diberikan kepada pelajar-pelajar luar bandar dalam usaha untuk pelajar-pelajar tersebut melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah sekaligus mengubah dominasi gender dalam dunia pendidikan.Diakui juga,detik tahun 1990-an,merupakan satu dekad bagi wanita menembusi 'glass ceiling' (satu sekatan yang tidak kelihatan tetapi menyekat wanita untuk berada di puncak).


Ini amatlah berbeza (di dalam tahun-tahun antara 20-an ke 30-an),dimana laporan Utusan Melayu memainkan peranan yang penting dalam menggalakkan ibubapa untuk menghantar anak-anak perempuan mereka ke sekolah untuk menimba ilmu pengetahuan dan melengkapkan diri dengan input-input seperti membaca,menulis dan mengira.Masyarakat Melayu kuno masih utuh berpegang kepada prinsip-prinsip tradisi dengan menganggap jika kanak-kanak perempuan diberi pelajaran membaca dan menulis,nescaya akan menggalakkan apa yang disebut sebagai 'penyimpangan norma tatasusila' dengan kanak-kanak perempuan itu akan berutusan surat cinta dengan murid-murid lelaki.Tambahan pula,ibu bapa masih terikat dengan agihan tugasan berorientasikan gender yang mengklasifikasikan tugasan di dalam rumah seperti memasak,mengemas rumah,menyulam mahupun jahit-menjahit lebih didominasi anak perempuan sementara anak-anak lelaki pula diberatkan dengan tugasan di luar rumah.Pada masa itu,sangat sukar untuk membuka sekolah bagi anak-anak perempuan Melayu.Apa yang berlaku ialah diselitkan anak-anak perempuan Melayu di dalam bilangan kecil di sekolah-sekolah lelaki.


Di dalam Islam sendiri,kaum wanita 'diwajibkan' mencari dan menguasai ilmu pengetahuan sesuai dengan perkataan Nabi yang menyebut;'Menuntut ilmu adalah suatu perkara yang diwajibkan ke atas setiap Muslim.'(Hadis yang dilaporkan Ibnu Majah).Muslim itu sendiri merujuk kepada setiap lelaki dan perempuan,malah sejak awal-awal lagi Islam menyuruh umatnya untuk menguasai ilmu pengetahuan berdasarkan Surah Alaq ayat 1-2 yang berbunyi;'Bacalah,dengan nama Tuhanmu yang menciptakan Dia mencipta manusia dengan segumpal darah.'Wajarlah dalam kesempatan ini,kita bersyukur kerana kemudahan akses kepada pendidikan menjadikan wanita sebagai insan berkebolehan dalam serba-serbinya tanpa mencacatkan kesemulajadian naluri seorang wanita yang masih bertunjangkan kepada kelembutan dan kesopanan sekaligus sebagai seorang isteri dan ibu yang melengkapkan agen sosialisasi sebuah institusi kekeluargaan dalam melestarikan ketamadunan manusia yang berilmu pengetahuan tinggi.

Comments

Popular Posts