Hadis tentang bersiwak(menggosok gigi)





Apabila kita bercakap tentang penjagaan kesihatan mulut dan gigi,berapa orangkah diantara kita yang benar-benar serius untuk bercakap mengenainya.Kita kadangkala alpa terhadap penjagaan kesihatan dan kebersihan mulut.Bagi sesetengah orang,rupaparas wajah dan kulit lebih diutamakan berbanding kebersihan dan kesihatan mulut.Sebenarnya,aspek penjagaan kebersihan dan kesihatan mulut dan gigi ini telah lama diambilkira oleh Nabi agung kita iaitu tidak lain tidak bukan,Nabi Muhammad s.a.w.,perkara ini diperkatakan setelah menelaah beberapa hadis masyur berkaitan kepentingan bersiwak atau menggosok gigi seperti sebuah hadis yang berbunyi;Dari Abu Hurairah r.a.,dari Nabi s.a.w.,sabdanya:”Jikalau tidaklah akan menyulitkan bagi umatku,sungguh aku perintahkan mereka menggosok gigi setiap akan solat.”(H.R.Muslim) Sementara dari Miqdam bin Syuraih r.a.,dari bapanya,katanya dia bertanya kepada Aisyah r.a.:”Pekerjaan apakah yang pertama-tama dilakukan Nabi s.a.w. kalau beliau masuk rumah?”Jawab Aisyah r.a.,”Pertama-tama beliau menggosok gigi.”(H.R.Muslim) Sementara dari Hudzaifah r.a.,katanya:”Apabila Rasulullah s.a.w.bangun untuk solat tahajjud tengah malam,beliau menggosok gigi dengan siwak.”(H.R.Muslim)


Di dalam ilmu perubatan moden,sekiranya kita gagal menjaga kebersihan dan kesihatan mulut seperti menggosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari terutamanya selepas makan dan sebelum masuk tidur,kita akan ditimpa dua penyakit pergigian yang utama iaitu penyakit gusi tahap pertama dan kedua(gingivitis dan periodontitis) dan penyakit karies pergigian(pereputan gigi) selain mulut berbau dan sebagainya.Bayangkan hidup kita tanpa gigi?Bagaimana agaknya kita hendak menikmati makanan yang kebanyakannya perlu dikunyah dan dilumatkan supaya sistem penghadaman kita dapat menghadam makanan dengan baik?Kehilangan gigi juga akan mengubah rupaparas estetik seseorang selain mengganggu fungsi pertuturan.Semoga kita mengambil iktibar di atas hadis Nabi yang terbaik untuk kita amalkan dan hadis yang telah mendahului zaman itu sangat menginsafkan kita agar mengkaji lebih banyak hadis-hadis yang sudah tentu mempunyai keistimewaan dan keberkatan sebagai panduan hidup,In shaa Allah.


Saya akhiri mesej ini dengan sebuah lagi hadis tentang bersiwak(menggosok gigi) yang menjadi keutamaan baginda Rasulullah s.a.w.,sepanjang hidupnya iaitu;Dari Ibnu ‘Abbas r.a.,katanya pada suatu malam dia bermalam di rumah Nabi s.a.w. Tengah malam beliau bangun dan pergi ke luar rumah.Beliau memandang ke langit,lalu beliau baca ayat dalam surah Ali ‘Imran(Ali ‘Imran:190-191).Kemudian beliau kembali ke rumah,lalu menggosok gigi,mengambil wudhuk,dan sesudah itu beliau solat.Sesudah solat beliau berbaring,kemudian bangun,ke luar rumah,menengok ke langit sambil membaca ayat,kemudian masuk kembali,menggosok gigi,wudhuk lalu solat.(H.R Muslim)


Rujukan Hadis,Terjemahan Shahih Muslim jilid I,II,III,IV Al Imam Muslim.

Comments

Popular Posts