Ujian sakit




Allahhu akbar,dunia ini berputar mengikut resamnya.Sedang kita leka menikmati kemewahan dunia dan isinya,kita dikejutkan dengan berita si polan dan si polanah yang sedang menderita sakit.Semalam kita lihat dia masih sihat bersolat di sisi tetapi pada hari ini kita dikhabarkan tentang penyakit sekian sekian yang menimpanya.Begitulah aturan putaran alam dan kehendak Yang Maha Esa,yang telah tertulis dan tidak mungkin dapat ditolak lagi.Bercakap tentang sakit,ada satu hadis yang menyebut;Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:”Hak seorang muslim terhadap muslim lainnya ada lima,iaitu menjawab salam,mengunjungi orang sakit,mengiringi jenazah,memenuhi undangan dan mendoakan orang yang bersin.”[Muttafaqun ‘ alaih]

Dari ‘Aisyah r.a.,isteri Nabi s.a.w.katanya:Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap kali orang Islam mendapat malapetaka,Allah mengampuni dosanya kerana malapetaka itu,bahkan yang disebabkan oleh terkena duri.”[H.R.Bukhari]Yakinlah dengan janji Allah,berusahalah untuk berubat dengan aturan yang benar di sisiNYA selagi berkemampuan. Janganlah mudah untuk berputus asa dan menyerah kalah.Setiap penyakit pasti ada ubatnya kecuali mati,sesuai dengan hadis yang menyebut;Dari Abu Hurairah r.a,Nabi s.a.w.bersabda:”Bagi setiap penyakit yang diturunkan Allah,ada ubatnya yang diturunkan NYA.”[H.R.Bukhari]

Apabila kita melawat orang sakit pula dianjurkan untuk kita berdoa seperti yang diriwayatkan hadis berbunyi;Dari Ibnu Abbas r.a.,Rasulullah s.a.w.bersabda:”Barangsiapa yang mengunjungi orang sakit yang belum sampai ajalnya,kemudian dia membacakan doa ini tujuh kali “As’alullahal-azhima rabbal-‘arsyilazhimi an yasyfika(Saya bermohon kepada Allah Yang Maha Agung,Tuhan ‘Arasy yang besar,semoga Dia berkenan menyembuhkan kamu)nescaya Allah menyembuhkan penyakitnya itu.”[H.R.Abu Daud dan Tirmizi]

Bukankah penyakit juga merupakan sebahagian daripada ujian Allah S.W.T?Bersabarlah menghadapinya dengan tulus dan ikhlas sambil berdoa kepadaNYA.Dari Abu Hurairah r.a. berkata:"Rasulullah s.a.w. bersabda:"Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah mendapat kebaikan,maka ditimpakan musibah(ujian) kepadanya."[H.R.Bukhari].Sementara Dari Anas bin Malik r.a.,Nabi s.a.w. berkata:”Janganlah sekali-kali salah seorang kamu mengharapkan kematian kerana suatu malapetaka yang menimpanya.Kalau ia tidak dapat berbuat lain,maka hendaklah ia berdoa:”Hai Tuhanku,hidupkanlah aku kalau seandainya kehidupan itu lebih baik bagiku,tetapi matikanlah aku,seandainya kematian itu lebih baik bagiku.”[H.R.Bukhari]

Comments

Popular Posts