Nilai Sebuah Persahabatan















Boleh jadi nilai sebuah persahabatan lebih indah dari nilai sebuah percintaan. Mungkin ya atau mungkin tidak, ia sekadar persepsi yang boleh berubah-ubah mengikut kesesuaian dan tahap-tahap tertentu. Di saat ini, mungkin kita teringatkan memori persahabatan yang telah lama tenggelam dalam kesuntukan waktu dan 1001 macam alasan lain yang menjarakkan persahabatan. Memang indah untuk dikenang peristiwa berlari-larian ke kelas mengaji umpamanya, peristiwa sewaktu di bangku sekolah mengenal huruf dan angka dan berbagai-bagai lagi yang setiap satunya pasti ada nilai sentimentalnya. Dalam sebuah persahabatan pasti ada cerita suka dan duka untuk dikongsi.Kata orang, 'sharing is caring'. Bukan sekadar perkongsian tentang persoalan dunia malahan mencakupi akhirat, hidup dan mati. Bukan juga sekadar perkongsian yang sekadar 'sembang kosong di warung kopi'. Lebih bermakna lagi, perkongsian yang 'memaknakan' erti sebuah hidup dan kehidupan yang boleh diangkat sebagai pengajaran buat sempadan baik dan buruk. Persahabatan yang murni adalah persahabatan yang sentiasa mengingatkan dan mendekatkan kita kepadaNYA, Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Setiap perkataan dan perlakuannya adalah inspirasi diri ke arah menjadi hambaNYA yang sentiasa mencari-cari keredhaanNYA. In Shaa Allah...






Rasulullah SAW bersabda, yang maksudnya; Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya, dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggillah ia dengan nama yang paling disenanginya. [Riwayat Al Tabrani]


Rasulullah SAW bersabda; Apabila seseorang itu mendoakan untuk saudaranya di kala ia tidak ada (tanpa pengetahuan saudaranya itu), maka berkatalah malaikat; Kamu juga menerima sebagaimana doamu itu. (Hadis Riwayat Muslim)Oleh itu, sebaik-baik hadiah adalah doa. Jadi, sentiasalah doakan yang baik-baik untuk insan-insan yang kita sayangi. 





" Jangan engkau bersahabat dengan sahabat yang mana dia begitu berharap kepada engkau ketika mahu menyelesaikan masalahnya sahaja sedangkan apabila masalah atau hajatnya telah selesai maka dia memutuskan kemanisan persahabatan. Bersahabatlah dengan mereka yang mempunyai ketinggian dalam melakukan kebaikan, memenuhi janji dalam perkara yang benar, memberi pertolongan kepada engkau serta memadai dengan amanahnya atau sikap bertanggungjawabnya terhadap engkau. "

-Imam Umar bin Abdul Aziz-

Persahabatan yang baik adalah bersama-sama di saat pahit dan manis, suka dan duka. Saling ingat-mengingati dan nasihat-menasihati di dalam sesuatu perkara yang baik dengan penuh hikmah dan toleransi. Hargailah persahabatan pada masa lalu, kini dan selamanya kerana kita tidak pasti selama mana lagi kita akan bersama mereka yang sangat kita kasihi dan sayangi itu. Semoga, persahabatan yang baik akan terus dikenang selama-lamanya dan diberkati olehNYA. Amin

Comments

Popular Posts