Warna warna Kehidupan




Semasa saya berjalan-jalan di kaki-kaki lima kedai,saya dapat melihat bermacam ragam dan gelagat manusia yang mengemis di sepanjangnya.Kelihatan seorang ibu yang memangku anak kecil di ribanya,ada juga pengemis tua yang sekadar berkain batik atau berbaju T-Shirt lengan pendek.Terdapat juga kanak-kanak yang entah di mana kedua ibu bapanya.Ada dua persoalan yang bermain di minda.Adakah mereka ini benar-benar daif atau adakah mereka sekadar dipergunakan oleh sindiket-sindiket tertentu yang mengaut keuntungan melalui perniagaan sebegini?Bolehkah ini disebut sebagai aktiviti 'pemerdagangan manusia'?


Saya masih ingat  sewaktu di dalam bas semasa perjalanan balik daripada asrama ke rumah suatu ketika dahulu,terdapat sekumpulan kanak-kanak akan memaksa penumpang-penumpang bas untuk membeli 'key chain' atau 'ayat-ayat daripada Surah Lazim' dan apa-apa sahaja seperti tisu yang berharga RM1 atau  sekadar menadah tangan meminta belas ikhsan untuk sekeping not kertas.Sekiranya penumpang-penumpang tersebut enggan melayaninya,maka kanak-kanak itu akan merayu-rayu atau dengan sengaja meninggikan suara mereka yang membuatkan kita berasa kurang senang dengan situasi tersebut.Hendak atau tidak hendak,terpaksalah menghulurkan juga seringgit dua untuk mendiamkan mereka.Kasihan pun ada,geram pun ada.Kasihan apabila melihat mereka ditampar sesuka hati oleh penjaga akibat lapar apabila meminta makanan dan geram kepada manusia yang mempergunakan mereka tanpa belas kasihan.


Pernah juga sewaktu melintasi jejantas,kelihatan pengemis dari kategori OKU(Orang Kelainan Upaya) berbaring sambil tangannya menguis tin kosong yang berdecing-decing bunyi syilingnya apabila digoncang.Saya dan rakan hanya menghulurkan sebungkus nasi campur bersama sekotak air kepadanya kerana waktu itu telah tiba waktu makan tengahari dan mungkin dia lapar.Persoalannya,bagaimanakah dia boleh terdampar di situ dalam keadaan kaki dan tangannya yang kudung itu?Siapakah yang telah mengheretnya setinggi itu dan terpaksa pula melalui dan menuruni anak-anak tangga jejantas yang agak tinggi itu?


Ada satu ketika,saya terlihat seorang lelaki tua tidak berbaju,hanya berseluar pendek separas lutut yang terbongkok-bongkok mengayuh basikalnya.Apabila tiba di tong-tong sampah,lelaki tua itu akan menyelongkar untuk mengutip tin-tin minuman kosong atau botol minuman plastik.Di belakang basikalnya,dipenuhi dengan kotak-kotak,sementara di bahagian hadapan basikalnya dipenuhi dengan beg plastik berisi air minuman pelbagai perisa hasil dari sisa-sisa tong sampah yang turut dipungutnya,begitu juga sisa-sisa makanan di dalam bekas polisterin.Dipungut juga!Hampir setiap petang saya melihatnya begitu di tempat yang sama sampailah suatu ketika,saya bertemu dengannya tanpa diduga di sebuah bank sedang berurusan bersama buku akaun di tangannya!


Itulah sebahagian daripada warna-warna kehidupan yang mengharukan...

Comments

Popular Posts