Ujian Terhebat ?





Bukankah hidup dan kehidupan ini penuh dengan 'ujian'.Bahkan di dalam Al Quran pun menyebut;'Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (seksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya.' [Al Baqarah;2:286].


Sehebat-hebat ujian yang kita lalui,bersyukurlah kepadaNYA kerana ujian yang diberikan itu telah dijamin Allah, kita sebagai hambaNYA mampu untuk menghadapinya.Subhanallah.Siapakah yang lebih hebat ujian hidup dan kehidupannya jika kita membandingkan dengan riwayat hidup Rasulullah SAW?Tidak cukup hebatkah ujian anak yatim piatu ini yang hidupnya tidak beribu dan berayah?Menghadapi kematian bapa saudara dan pakcik-pakciknya,menghadapi kematian putera puteri kesayangannya,menghadapi kematian isteri tercinta,Siti Khadijah,bahkan kematian cucu  baginda.Dihina dan dikhianati kaumnya serta dibaling batu oleh kanak-kanak sewaktu menyampaikan risalah Allah?Betapa hebatnya dugaan Nabi Allah yang terpercaya ini.Tidak mampu rasanya untuk kita menghadapinya.Justeru,bersyukurlah menghadapi ujian Allah dengan kesabaran dan ketakwaan tanpa sesekali menyalahkan Takdir.Yakinlah kepada firman Allah;'Maka ingatlah kepadaKU,Aku pun akan ingat kepadamu.Bersyukurlah kepadaKU,dan janganlah kamu ingkar kepadaKU.Wahai orang-orang yang beriman!Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat.Sungguh,Allah berserta  orang-orang yang sabar.'[Al Baqarah;2:152-153]Di dalam Surah Ar Ra'd,Allah berfirman yang maksudnya;'(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah .Ingatlah,hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.'[13:28]


Di dalam Al Quran itu sendiri terdapat ayat-ayat yang apabila dibaca,sungguh menenangkan hati dan perasaan.Ayat-ayat yang mampu menyembuhkan kelukaan dan rasa dukacita di hati,yang menyinarkan nur cahaya buat petunjuk kepada segala masalah dan kekusutan.'Katakanlah (Muhammad) ,"Al Quran itu diturunkan oleh (Allah) yang mengetahui rahsia di langit dan di bumi.Sungguh,Dia Maha Pengampun,Maha Penyayang."[Al Furqan;25:6]Semoga hati-hati kita menjadi tenang dalam menghadapi ujianNYA, dengan menjadikan amalan membaca Al Quran sambil mendalami maksudnya sebagai santapan rohani setiap hari.


Comments

Popular Posts