Kamu,Apa Yang Kamu Makan





“Kamu, Apa Yang Kamu Makan”merupakan kupasan menarik saudara Ann Wan Seng tentang pola pemakanan seperti yang disebut di dalam Surah Al-A’raf ayat 31 yang bermaksud;”Makan dan minumlah kamu dan janganlah berlebih-lebihan.Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.”Tidak hanya membincangkan tentang aspek halal dan haram tetapi buku ini juga mengupas secara terperinci khasiat dan nilai pemakanan terhadap kesihatan tubuh badan.


Menariknya,buku ini juga mencatatkan resepi dan rahsia pemakanan Nabi Muhammad s.a.w.dalam olahan yang dikaitkan dengan rangkaian ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis terpilih tentang setiap satu jenis makanan dan minuman kegemaran yang menjadi amalan sepanjang hayat Rasulullah.Umum mengetahui,Nabi s.a.w.merupakan contoh terunggul sepanjang zaman dan bukan rahsia lagi,baginda Rasulullah s.a.w.sepanjang hidupnya jarang ditimpa penyakit kerana gaya pemakanan yang diamalkan sangat tepat dengan pola pemakanan yang dianjurkan oleh Islam iaitu,makan untuk hidup dan bukannya hidup untuk makan sesuai dengan satu hadis yang menyebut,”Sumber segala penyakit adalah kenyang”(H.R.al-Bukhari:1921).


 Mengagumkan,pola pemakanan yang diamalkan Nabi s.a.w.diakui terbaik dalam dunia perubatan moden.Baginda Rasulullah s.a.w.hanya menyentuh makanan ketika lapar dan berhenti makan sebelum kenyang dan sabdanya;”Kami adalah kaum(umat) yang tidak makan kecuali lapar dan apabila kami makan,kami berhenti sebelum kenyang.”(H.R.at-Tirmizi:3461).Nabi sangat menitikberatkan tentang aspek halal dan haram sesuatu makanan yang dimakan kerana ia sangat mempengaruhi kesihatan rohani dan spiritual di samping salah satu penyebab doa  dimakbulkan atau tertolak oleh Allah s.w.t.


Kita dapat meneladani contoh pola pemakanan nabi s.a.w.seperti mengamalkan air putih yang dicampur madu asli setiap pagi sebagai sarapan dan amalan memakan kurma ajwa yang sangat baik untuk kesihatan tubuh badan.Nabi juga amat menggemari susu,buah-buahan dan sayur-sayuran.Diantara buah-buahan yang disukai Nabi s.a.w.ialah kurma,anggur,delima,zaitun,buah tin,jambu biji dan labu yang setiap satunya diakui nilai khasiatnya untuk kesihatan tubuh badan.Nabi s.a.w.juga tidak terus tidur apabila selesai makan,sebaliknya sebelum tidur baginda juga berzikir,bersolat atau melakukan aktiviti yang bermanfaat untuk melancarkan proses penghadaman dan pencernaan makanan.


Buku ini juga mengajar kita tentang etika dan adab makan dan minum yang dianjurkan Islam seperti menyebut nama Allah ketika mula makan,memuji Allah di akhir makan,makan secara berjamaah untuk mendapat keberkahan dari Allah s.w.t. dan sumber makanan juga mestilah dari sumber yang halal dan baik lagi bermanfaat untuk kesihatan tubuh badan kerana ia sangat mempengaruhi samaada dari aspek fizikal,rohani dan spiritual.Dapatkan buku ini di pasaran dengan harga RM 18.00 di Semenanjung Malaysia dan RM21.00 di Sabah dan Sarawak.Anda tidak rugi untuk memilikinya!

Comments

Popular Posts