Pengabaian terhadap anak

Menarik juga apa yang dipaparkan oleh kaca Televisyen Al Hijrah tentang contoh-contoh pengabaian anak.Kelihatan begitu hampir dengan kehidupan kita tetapi mungkin kita tidak menyedarinya. Anak adalah satu amanah yang dianugerahi oleh Allah swt yang tiada ternilai harganya.Dua contoh yang diberikan adalah tentang rokok dan permainan video (video games).Dalam contoh tersebut,dibiarkan remaja berusia 13 tahun untuk membeli rokok di sebuah kedai dan sangat mendukacitakan,kedai tersebut tanpa memperdulikan usia kanak-kanak yang di bawah 18 tahun,terus memberikan sekotak rokok tanpa bicara dan usul periksa.Kejadian yang serupa turut berlaku di sebuah kedai yang lain.Umum mengetahui,rokok adalah salah satu item yang dilarang berjualan untuk kanak-kanak di bawah usia 18 tahun,namun sikap untuk mengaut keuntungan telah menyebabkan ibu bapa dan masyarakat terleka dengan larangan tersebut.Pernahkah kita terfikir tentang sikap sambil lewa sesetengah peniaga yang hanya membesarkan keuntungan akhirnya hanya akan merosakkan generasi pelapis yang bakal mewarisi negara ini?Kita juga sebagai ibu bapa,perlulah lebih bertanggungjawab untuk menerangkan kepada anak-anak tentang bahaya rokok kepada kesihatan dan tubuh badan di samping hanya membazirkan wang ringgit.Adalah lebih baik,kita sebagai ibu bapa untuk menjauhi tabiat merokok dan tidak sesekali merokok di hadapan anak-anak kerana asapnya yang memudaratkan itu.


Contoh kedua yang diberikan adalah tentang permainan video (video games).Berapa ramai diantara kita pada hari ini sebagai ibu bapa dan masyarakat yang prihatin terhadap isu permainan video ini?Pernahkah kita cuba untuk membelek sambil meneliti seketika apakah isi kandungan permainan video tersebut dan apakah manfaat yang diperolehi dari permainan tersebut?Kebanyakan permainan video yang ditawarkan adalah tidak sesuai untuk kanak-kanak di bawah usia 18 tahun yang mengandungi unsur keganasan,seksual dan tidak sopan serta menyalahi tatasusila dan kemanusiaan. Responden kanak-kanak yang bermain permainan video itu ditanya oleh wartawan terbabit apakah jalan cerita permainan video tersebut?Kanak-kanak tersebut menceritakan ia adalah tentang kisah seorang anak yang cuba membalas dendam di atas kematian ibunya dengan membunuh dan mencuri.Apakah Islam mengajar kita untuk membalas dendam dengan membunuh dan mencuri?Selain daripada itu,kanak-kanak tersebut turut bercerita,lelaki yang cuba membalas dendam terhadap kematian ibunya itu akan berehat di bar atau kasino yang sudah tentu dihidangkan dengan arak,judi dan sebagainya yang di luar jangkauan pemikiran seorang kanak-kanak tetapi,permainan video itu telah memanipulasikan pemikirannya ke arah sesuatu yang negatif dan tidak sihat.Sudah tentu,Islam tidak mengajar kita tentang berseronok di bar atau kasino apatah lagi sesuatu yang haram seperti arak dan judi.


Benar,pada masa kini bukanlah masanya ibu bapa mahupun masyarakat di sekeliling hanya berkata kepada anak-anak;"Tolong jangan buat begitu dan begini."Larangan bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan solusi dalam menyelesaikan masalah ini.Era dunia tanpa sempadan ini,memerlukan ibu bapa dan masyarakat untuk duduk bersama-sama anak-anak ini dan terangkan kepada mereka tentang keburukan sesuatu perkara yang berunsur negatif serta apakah impaknya (kesan) kepada mereka.Perbincangan dan persefahaman diantara satu sama lain adalah solusi yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini.Semoga Allah swt memberikan kita semua kekuatan untuk membentuk akhlak dan sahsiah peribadi generasi alaf baru ini yang memerlukan bukan sedikit ilmu di dada. 

Comments

Popular Posts