Skip to main content
Bertemu dan Berpisah kerana-Nya
Apakah yang mampu kita lakukan sekiranya bahtera impian yang kita impi-impikan sampai ke syurga akhirnya karam di lautan luas yang menggulung ombaknya? Harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari? Bukankah setiap pertemuan pasti ada perpisahan? Bukankah setiap pertemuan dan perpisahan juga adalah Takdir dariNYA samaada berpisah hidup mahupun berpisah mati? Yakinlah hati dengan segala ketentuanNYA, kerana janji Allah itu pasti. Ada orang yang optimistik menerima segala qadak dan qadar ketentuan dariNYA dengan keterbukaan minda dan hati serta ada juga yang pesimistik dalam menerima segala ketentuan dariNYA dengan minda dan hati yang tertutup.
Segalanya bergantung kepada kekuatan emosi dan tahap keimanan seseorang kepada Tuhan dan sejauh mana di hatinya mengakui bahawa hidup dan kehidupan ini hanyalah onak dan duri-duri ujian yang tidak selalunya manis dan indah. Bagi yang meletakkan Allah adalah yang pertama di hati dan dirinya sendiri hanyalah milik Allah, sudah pasti jiwa dan rohaninya tidak akan gundah gulana sekiranya menghadapi sebarang kemungkinan di dalam hidupnya.
Di dalam Surah Al Baqarah:216; Allah berfirman yang maksudnya "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu. Boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu."
Maka yakinlah di dalam hati, sesuatu yang terjadi itu pasti ada hikmahnya yang terbaik untuk hamba-hambaNYA yang bersabar, bertakwa dan tahu bersyukur.
Di dalam melayari hidup dan kehidupan ini, janganlah terlalu bersedih dan berdukacita dengan apa-apa juga yang telah menjadi 'tragedi' yang tidak seindah mimpi itu.
Redhalah hati...
Bangkitlah dengan penuh keberanian dan kekuatan yang diberikan Tuhan supaya kita terus menjadi insan-insan yang cekal dan tabah dalam mengharungi suka duka kehidupan ini. Mengapa mesti bersedih dan berduka? Adakah hidup dan kehidupan ini hanya untuk kesedihan dan air mata? Dekatkanlah hati-hati kita kepadaNYA setiap saat dan detik. Inilah masa dan waktunya untuk bermuhasabah diri, menilai kembali hitam putih perbuatan dan tingkahlaku kita yang mungkin pernah menyimpang sebelum ini.
Lupakanlah sisi-sisi gelap dan pahit di dalam kehidupan kita yang telah berlalu, buktikan pada diri untuk memperbaiki segalanya kepada yang lebih baik dan diredhaiNYA. Kita tidak hidup untuk menangisi apa yang telah berlalu tetapi kita hidup untuk pencapaian-pencapaian akan datang merangkumi persoalan dunia dan akhirat, semoga menjadi hamba-hambaNYA yang paling bertakwa disisiNYA. Bukankah hidup dan mati kita juga hanya untukNYA?
Comments
Post a Comment