Tentang Masa

Masa itu emas.Adakalanya kita terlupa menghargai masa.Masa yang diberi Tuhan untuk setiap hambaNYA tiada yang terlebih dan tiada yang terkurang.Semuanya sama sahaja.Bukankah di dalam Surah Al-Asr (103) ayat 1-3;Allah berfirman: 'Demi Masa.Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh,dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.'Dalam 24 jam waktu yang diberi apakah pengisian yang telah kita manfaatkan?Berdoalah di hati sentiasa semoga pengisian waktu tersebut menjadikan kita di kalangan hamba-hambaNYA yang beroleh ketenangan,kebahagiaan dan kejayaan di sisiNYA tidak hanya di dunia tetapi mencakupi kebun-kebun akhirat kelak.




Cuba kita pejamkan mata sejenak dan berfikir sedalam-dalamnya,apakah pengisian di dalam waktu 24 jam tersebut benar-benar mempengaruhi soal-soal ketenangan dan kebahagiaan jiwa dan rohani kita selama ini?Bukankah punca-punca ketenangan dan kebahagiaan berakar umbi dari perbuatan dan tingkahlaku kita?Jika yang elok dan baik menjadi santapan rohani maka baik jugalah keseluruhan sistem yang berfungsi di luaran dan dalaman kita.Sekiranya yang buruk dan tidak baik mendominasi santapan rohani kita,maka begitu jugalah corak dan warnanya mempengaruhi luaran dan dalaman kita.Semoga kita memilih hanya yang terbaik untuk mewarnai dunia dalaman dan dunia luaran kita agar rohani kita sentiasa mudah menerima petunjuk dan hidayah dariNYA.


Apakah contoh-contoh pengisian yang baik untuk santapan rohani kita?Contoh yang mudah,semoga bibir kita sentiasa basah dengan mengingati Allah SWT melalui zikrullah,hafalan dan bacaan ayat-ayat suci Al Quran.Telinga kita hanya mendengar perkataan yang baik-baik,begitu juga dengan sepasang mata ciptaan Tuhan,melihat perkara-perkara yang baik dan menjauhi daripada perkara-perkara yang dilarang.Tangan dan kaki kita,melakukan kerja-kerja yang baik di sisi Tuhan dan agama.Bukankah segalanya akan menjadi saksi kelak di hadapan Tuhan?Beritahu kepada anak-anak kita yang sedang melayari internet,walaupun kita sebagai ibu bapa tidak tahu dan tidak nampak apakah perkara-perkara yang dilayarinya di media tanpa sempadan itu,namun Tuhan sedang mengawasinya dan segala pancainderanya kelak akan menjadi saksi di hadapan Tuhan kelak :)

Comments

Popular Posts