Sembang-sembang Pilihanraya ;p



Gambar dari  Master Chef Ezani


Ya,barangkali inilah yang dikatakan "pesta pilihanraya".Di laman muka buku (facebook) kita dapat melihat perkongsian status yang beraneka ragam bicaranya.Ada yang membuatkan kita tersenyum seorang diri,ada yang membuatkan kita menggeleng-gelengkan kepala berkali-kali dan tak kurang juga yang membuatkan kita tiba-tiba beristighfar panjang."Astaghfirullahhaladzim..."Sambil-sambil menunggu buah sukun goreng di dapur,terkial-kial jari-jemari makcik Bee menaipkan sesuatu pada keyboard komputer Compaqnya,di hatinya berkira-kira walau tak dapat jadi wakil rakyat,jadi 'keyboard warrior' pun jadi lah.Dia tersenyum seorang diri.Begitulah penangan musim pilihanraya yang bakal menjelang tiba.Untung sabut timbul,untung besi tenggelam.Kadang-kadang,ada orang yang tidak tahu apa-apa tentang sesuatu asal usul sesuatu perkara tetapi apabila tiba musim pilihanraya,dialah yang paling sibuk mengemaskini status yang entah apa-apa apabila dikongsikan.Ibarat tikus membaiki labu,makin teruk jadinya keadaan.Begitulah makcik Bee,dek kerana kelekaannya mengemaskini status di laman muka buku,sukun yang digorengnya habis hangus kesemuanya dan pasti pakcik Bee akan membebel apabila pulang dari kebun nanti.


Walau apa sekalipun pegangan kita,yakinlah setiap perkataan yang dicoretkan adalah amalan yang dinisbahkan kepada dosa dan pahala,jadi tidak perlulah menggunakan perkataan-perkataan yang merosakkan akal dan budi.Kalau tidak,manakan datang peribahasa;orang berbudi kita berbahasa,orang memberi kita merasa.Marilah kita sama-sama mendukung peribahasa yang menyebut;budi bahasa melambangkan bangsa.Sekurang-kurangnya kita telah membantu Dewan Bahasa Dan Pustaka dalam memartabatkan amalan berbahasa.Mungkin kita terlupa,dalam memberikan sesuatu pendapat dan pandangan adalah menjadi tradisi dan budaya untuk terlebih dahulu menyelidiki isu-isu yang berlegar di sekeliling  kiri dan kanan kita adalah fakta.Janganlah menjadi seperti 'pak turut' yang hanya tahu mengangguk-anggukkan kepala setiap masa dan ketika.Ada kalanya,kita perlu menggeleng-gelengkan kepala dengan lebih berprinsip.Semoga kita menjadi manusia yang lebih bertanggungjawab dengan mengambilkira status yang hendak dikongsikan itu benar-benar memberi manfaat kepada yang hendak disampaikan dan adakah status tersebut adalah sahih dan berintegriti?Apabila kita bercakap tentang politik,maka kita hendaklah benar-benar memahami apa itu politik dan bukan sekadar bercakap ikut sedap mulut kerana jangan kita melupakan satu lagi peribahasa Melayu yang berbunyi,terlajak perahu boleh ditarik,terlajak cakap buruk padahnya.Satu lagi peribahasa yang tidak kurang hebatnya berbunyi,kerana pulut santan binasa,kerana mulut badan binasa.

Comments

Popular Posts