Skip to main content
Cermin Kehidupan
'Ya Allah, sebagaimana engkau perelokkan kejadian zahirku, maka perelokkanlah batinku.' [Hadis Riwayat Ibn Hibban]
Setiap kali apabila kita memandang ke arah cermin di hadapan kita, apakah agaknya yang terlintas di fikiran kita pada ketika itu? Pernahkah kita membayangkan bagaimana akhirnya 'kecantikan luaran' itu akhirnya akan pudar ditelan usia?
5 tahun akan datang,
10 tahun akan datang,
15, 20, 25 dan seterusnya...
Lalu pada ketika itu, di akhir saki-baki usia yang tinggal, apakah lagi yang kita harap-harapkan dari refleksi seraut wajah tua itu? Itulah dinamakan 'cermin kehidupan'. Setiap sesuatu yang bermula pasti akan ada pengakhirannya. Semoga dengan kejadian tersebut, menjadikan kita hamba-hambaNYA yang benar-benar seorang hamba kepada TuhanNYA, tidak bersikap ujub, takbur dan riak walau di manapun putaran roda hidup kita berada.
Yang muda akan menjadi tua,
yang sihat akan menjadi sakit,
yang hidup pasti akan mati
dan begitulah seterusnya, putaran alam ini berfungsi. Tidak ada apa-apa lagi yang tinggal melainkan kedut seribu di wajah. Apa yang tinggal hanyalah secebis 'kecantikan dalaman' yang tidak mungkin terhijab dengan mata kasar, kecuali dilihat dengan mata hati yang luhur dan tulus. Seorang yang baik akhlaknya, lembut tutur katanya, pemurah, dermawan; itulah aset sebuah kecantikan dalaman. 'Kecantikan dalaman' itulah yang paling abadi untuk dikenang jauh di sudut hati dan menjadikan betapa istimewanya kita di mata dan di hati seseorang yang sangat kita kasihi dan cintai itu sebagai pengikat yang berkekalan sehingga ke akhirnya, In shaa Allah, Dan jangan pernah kita melupakan hadis Nabi yang bermaksud; 'Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa kamu dan tidak juga kepada harta kekayaan kamu, tetapi Dia memandang kepada hati kamu dan amalan kamu.' [Riwayat Muslim]
Peliharalah kecantikan dalaman itu dengan mendekatkan diri kepada segala perintahNYA dan menjauhi segala laranganNYA. Lengkapkanlah diri kita dengan sifat-sifat mahmudah(terpuji) dan jauhi sifat-sifat mazmumah(terkeji). Peliharalah lidah-lidah kita daripada perkataan yang sia-sia dan mendatangkan kerosakan, peliharalah telinga-telinga kita daripada mendengar perkataan-perkataan yang tidak berfaedah dan melalaikan, agar hati-hati kita sentiasa tenang dan bahagia.
Sabda Rasulullah yang bermaksud, 'Perbanyakkanlah mengingati mati, kerana yang demikian itu akan menghapuskan dosa dan menimbulkan kezuhudan terhadap dunia'. [Riwayat Abi al Dunya] Berdoalah kepadaNYA semoga kita tergolong dalam kalangan hamba-hambaNYA yang soleh dan solehah di sisiNYA, di dunia dan di akhirat,
Amin ;p
Comments
Post a Comment