Skip to main content
Tuntutlah Ilmu Sampai Ke Liang Lahat
Alhamdulillah,bersyukur kita kepada Allah.Bersyukur kerana pada hari ini, kita hidup di dalam dunia yang mempermudahkan segala urusan kita di dalam pencarian ilmu.Tidak kira,ilmu berkaitan dunia atau ilmu berkaitan akhirat dengan maksud dan tujuan yang sama,iaitu supaya kedua-dua ilmu tersebut boleh memacu kita ke arah kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat.Berdoalah kepada Allah SWT, semoga ilmu-ilmu yang kita perolehi akan mendekatkan lagi kita kepadaNYA dan semoga dapat memanfaatkan ilmu-ilmu tersebut untuk kepentingan umum khasnya insan-insan di sekeliling kita.Nabi bersabda yang maksudnya;'Sesiapa yang menempuh satu jalan kerana mencari ilmu,maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan ke syurga.'[Riwayat Muslim 2699]
Macam-macam cara dapat kita mencari ilmu,kalau buka sahaja televisyen,dengar sahaja radio,pilihlah saluran yang bermanfaat yang menggalakkan percambahan ilmu untuk santapan minda kita.Buka sahaja Al Quran,dapat kita memahami penyampaian ilmu Allah SWT yang relevan dari dahulu sampailah sekarang, berserta dengan terjemahan maksudnya dan bimbingan para ustaz ataupun ustazah. Dengan perkembangan teknologi masa kini,kepelbagaian gadjet dan saluran jalur lebar menggalakkan lagi untuk kita melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan.Dari hal ehwal resepi ikan masak lemak cili padi sampailah kepada hal ehwal dunia dan isu semasa.Selain media elektronik,ada juga media cetak seperti surat khabar,majalah ilmiah dan buku-buku yang berinformasi.Semoga dengan iman yang kukuh,menjadikan kita lebih selektif dalam pemilihan sumber-sumber ilmu tersebut, supaya kita tidak menjadi orang yang rugi dalam memanfaatkan ilmu.Jadikanlah amalan membaca doa seperti yang diajarkan Allah SWT di dalam surah Tha Ha yang bermaksud ; 'Ya Tuhanku,tambahkanlah ilmu kepadaku.'[20:114]Semoga kita menjadi hamba-hambaNYA yang tidak jemu-jemu menimba ilmu hatta sampai ke liang lahat sekalipun dan memperolehi keberkatan dari ilmu-ilmu tersebut.Amin.
Comments
Post a Comment