CERPEN KESYUKURAN: Nasi Lemak Kukus Daun Pandan





Dari gerobok dapur kayu Tok Embun kelihatan asap berkepulan.Harum wangi nasi lemak kukus daun pandan semerbak  bertebaran di udara sebaik penutup kayu pengukus dibuka.Tangan tua Tok Embun yang berselirat urat-urat hijau yang timbul terketar-ketar mengaris nasi yang ditanaknya dengan senduk kayu.Perempuan separuh abad itu masih seronok menyediakan makanan warisan leluhur nenek moyangnya secara tradisi.Dia puas melihat anak,menantu dan cucu-cucu kesayangannya menjilat jari menikmati  air tangannya yang enak berlemak itu.Dia tidak keseorangan di pondoknya.Semenjak anak tunggalnya Hasan mendirikan rumahtangga kira-kira dua puluh tahun yang lalu,mereka membina rumah yang juga tidak jauh dari pondoknya.Dia bersyukur kepada Tuhan diatas segala rahmat dan nikmatNYA yang tidak mampu dibayar walau sampai hembusan nafas yang terakhir nanti.Alhamdulillah,kesyukuran sentiasa dipanjatkan kepada Tuhan.

‘Mak…’Terdengar Hasan memanggil dari luar pondoknya.

‘Ya.Masuklah San,mak di dapur ni tunggu nasi lemak kukus.’Balas Tok Embun dari dalam pondoknya.

‘Huish…lapar la bau nasi lemak kukus daun pandan mak ni.hahaha..’Hasan tergelak.

‘Hish kamu ni,macam tak biasa pula.Sudah berapa puluh tahun kamu besar dengan nasi lemak ni.Cuba kamu hitung umur kamu sekarang ini?’

‘Hurm,ya lah mak,saya pun sudah 45 tahun.Dari kecil sampai tua makan nasi lemak kukus mak tak pernah jemu dan puas.Mana nak sama air tangan mak...’

‘Tahupun kamu…’Balas Tok Embun sambil tersenyum menampakkan baris-baris giginya yang semakin jarang itu.

Tiba-tiba ingatannya mengimbau memori lama yang masih tersemat di kotak ingatannya.Waktu itu,arwah bapa Hasan masih hidup.Tok Salleh,seorang lelaki tua berkulit sawo matang dan tidak banyak bercakap itu,telah banyak berjasa diatas kehidupannya sekarang.Tok Salleh seorang yang ringan tulang.Seingatnya,Hasan masih kecil dan tidak tahu apa-apa tentang erti kehidupan sewaktu Tok Salleh menutup mata kerana menderitai penyakit barah anginnya.Tok Salleh hanya berkebun dengan menoreh getah diatas tanah pusaka peninggalan arwah ibu dan ayahnya,sementara Tok Embun akan menanak nasi lemak kukus daun pandan,resepi turun-temurun keluarganya untuk dibuat berjualan sekitar kampungnya.Dengan keringat titik peluh Tok Salleh berkebun dan jualan nasi lemak kukus daun pandan itulah,Hasan dibesarkan dengan sepenuh kasih sayang tanpa melupakan pendidikan agama.

Walaupun Hasan anak tunggal,dia sekali-kali tidak akan memanjakan anaknya itu,malah apabila Hasan menginjak kealam persekolahan,Tok Embun membekalkannya dengan seraga penuh bungkusan nasi lemak yang dibalut dengan daun pisang buat Hasan berjaja di sekolahnya.Pernah Hasan menangis kerana malu berjaja nasi lemak kukus daun pandan tetapi apabila diterangkan itu adalah sumber rezeki mereka anak-beranak,akhirnya Hasan akur dengan kehendak Tok Embun tambahan pula,Tok Salleh telah tiada dan dari situ juga,Hasan cekap mencongak ilmu matematiknya seperti menambah,menolak,mendarab dan membahagi.Tok Embun bangga dengan Hasan kerana setiap kali peperiksaan,Hasan akan naik ke pentas menerima anugerah pelajar cemerlang.Dia tersenyum sendirian.

‘Mak…, mak..’Menerobos suara Hasan mematikan lamunannya di dua gegendang telinganya.Tok Embun menoleh.

‘Apa yang dimenungkan tu mak?Bukan main khusyuk saya tengok?’Soal Hasan penuh tanda tanya.

Direnungnya sayu wajah tua ibunya yang telah berkedut seribu dimamah usia.Wajah yang telah merengkuh pahit manis kehidupan yang cuma tinggal sisa-sisa saki baki yang entah esok,lusa,tulat dan entahlah,jauh di hatinya berdoa agar angka umur Tok Embun dipanjangkan agar masih bertempat menumpang kasih dan sayang seorang ibu.Wajah tua yang sentiasa bersama-samanya ketika susah dan senang dan wajah tua itu jugalah yang mengajarnya untuk hidup berdikari menongkah kedewasaan yang tidak semudah ABC itu.Wajah yang telah memberikan kekuatan untuknya menjadi seorang manusia yang tabah dan cekal hingga ke saat ini.Ibu yang sangat disayangi dan dikasihinya sampai bila-bila.

‘Mak teringat zaman dulu-dulu.Zaman masa ayah kamu masih ada,dan kamu pun masih kecil.Rindu mak pada kenangan lalu’.Ada rasa sebak di hujung suara Tok Embun.

‘Ha..ha..zaman nasi lemak kukus mak yang popular tu lah ya?Saya tak boleh lupa zaman saya terpaksa bawa bakul mengkuang berjaja nasi lemak sampai menangis.Tapi Alhamdulillah,berkat jualan nasi lemak tu lah yang tampung pengajian saya di universiti dulu.Terima kasih mak.’

Hasan memeluk erat Tok Embun seolah tidak mampu dilepaskan lagi.Dia sangat menghargai pengorbanan ibunya yang sangat besar itu.Benarlah kata orang,kasih ibu membawa ke syurga.Cuma ada sedikit rasa terkilan tidak sempat menabur bakti kerana arwah ayahnya telah kembali ke rahmatullah sewaktu dia berusia lapan tahun.Hasan sedar,duit hasil berjualan nasi lemak kukus daun pandan itulah yang membesarkannya sehingga bergelar arkitek terkenal di kampungnya.Dia bersyukur di atas segala kurniaanNYA.Di hatinya tidak pernah melupakan kata-kata Tok Embun sewaktu dia menangis enggan berjaja nasi lemak suatu ketika dahulu.

‘Kita jangan pernah malu dengan hasil usaha kita,asalkan kita berusaha dan bersyukur kepada Tuhan,kita akan menjadi manusia yang berjaya nak.Tuhan akan menolong hamba-hambanya yang berusaha.’

Jauh di sudut hati Hasan,dia merasa kerdil di hadapan Tuhan dengan segala rahmat dan nikmatNYA yang Maha Besar itu.Dari jendela pondok Tok Embun,dia dapat melihat para pekerja restoran nasi lemak kukus daun pandan bertungkus lumus melayani pelanggan yang saban hari makin bertambah dan sekarang,dengan hasil pulangan perniagaan restoran itulah,Hasan memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan dengan membiayai dan menaja pengajian anak-anak yatim di kampungnya sehingga ke peringkat universiti.Sekali lagi dia bersyukur diatas kemurahan rezekinya.


Comments

Popular Posts