Lain Dulu Lain Sekarang

Suasana kampung yang mendamaikan

Sudah menjadi budaya dalam masyarakat kita, hari raya merupakan 'kemeriahan' yang disambut sakan bersama kaum keluarga dan sanak-saudara serta rakan taulan. Setahun sekali, berkumpul beramai-ramai pasti menyeronokkan dapat bertukar-tukar 'ceritera' sambil menjamu selera juadah tradisi seperti lemang, ketupat dan rendang selain juadah moden yang lain. Mungkin pada hari ini, kalau menyebut sekadar beberapa jenis makanan tradisi, ada diantara generasi muda tidak berapa mengenalinya apatah lagi untuk jatuh cinta dengan rasa makanan tersebut bak kata bidalan,'tak kenal maka tak cinta'.

Apabila hidangan seperti wajik dan dodol tidak lagi menghiasi meja makan, begitu juga halwa meskat, kuih sepit atau kuih kapit, kuih putu kacang, kuih samperit, kuih bakar atau kuih bangkit, kuih sarang semut, kuih karas selain bahulu dan macam-macam lagi.

Tidak dinafikan, generasi pada masa kini tidak lagi berminat untuk mewarisi kebolehan 'orang lama' dalam penyediaan kuih-kuih tradisi yang dianggap renyah dan mengambil masa dalam menyediakannya. 

Mengambil contoh kuih bahulu yang dibakar dengan teknik tradisi yang dikatakan mampu mengekalkan keenakan rasa dan kualitinya (bertahan lama tidak berkulat) menggunakan sabut kelapa dibakar menggunakan arang diatas dan dibawah sudah cukup memenatkan. Betapa tabah dan sabarnya generasi terdahulu dalam menyediakan kuih-kuih warisan ini.

Lambakan kuih-kuih moden yang beraneka rupa dan rasa secara tidak langsung turut mengekang kuih-kuih tradisi untuk terus melawan arus perdana. Sesuatu perlu dilakukan supaya kuih-kuih tradisi mampu bertahan dan 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'.

Hari Raya adalah kesempatan yang baik untuk bertemu sanak-saudara dan mengeratkan tali silaturrahim diantara satu sama lain contohnya, dari datuk dan nenek, ibu dan bapa saudara, sepupu-sepapat sehinggalah kepada pelapis-pelapis baru mereka sehingga kepada beberapa generasi. Ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk mengenalkan anak-anak mereka dengan saudara-mara yang dekat mahupun jauh supaya ukkhuwah dapat diteruskan dan berkekalan.

Adalah sangat mendukacitakan, sekiranya pada hari yang mulia ini, masih kelihatan anak-anak muda yang begitu sibuk dengan 'teknologi komunikasi moden' seperti telefon, laptop, i-pad dan lain-lain lagi sehingga tidak berkesempatan untuk berbual mesra serta bersalam-salaman memohon kemaafan zahir dan batin dengan sanak-saudara mereka yang setahun sekalipun sukar untuk bertemu dan bersua rupa.

Semoga Hari Raya adalah landasan terbaik untuk menyatukan kita dari pelbagai latar dan mendapat ganjaran terbaik dariNYA di dunia dan di akhirat. Amin.

Comments

Popular Posts