MERDEKAkah KITA?













Kanak-kanak kecil berlari-larian sambil mengibarkan ‘jalur gemilang’ di tangan.Mereka melaungkan perkataan ‘Merdeka!Merdeka!Merdeka’!Rupa-rupanya kita sudah mencapai angka ke- 55 sambutan kemerdekaan tanahair.Pada hari ini,kita tidak lagi bercakap tentang pembebasan tanah Melayu daripada penjajahan Inggeris,kita tidak lagi bercakap tentang era ubi kayu tetapi,apakah aspirasi pemikiran generasi baru,atau generasi y dalam memaknakan istilah ‘kemerdekaan’ itu sendiri.Apakah mereka benar-benar faham definisi kemerdekaan dalam konteks yang lebih holistik dan sealiran dengan era pasca ‘maklumat di hujung jari?’.

Dalam konteks kemerdekaan yang lebih holistik atau menyeluruh itu,kita perlukan satu wacana pembaharuan minda dan rohani supaya pengisian kemerdekaan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya.Pada hari ini,sekiranya kita memberitahu kepada generasi baru tentang makna kemerdekaan dengan mengaitkan tentang pembebasan negara dari aspek fizikal oleh suatu kuasa asing,itu adalah perkara yang biasa-biasa bagi mereka kerana mereka tidak nampak dan tidak merasai susur galur penderitaan yang dihadapi generasi terdahulu yang bermati-matian bergolok-bergadai keringat,darah dan nyawa demi sebuah perjuangan menuntut kemerdekaan.

Kita masih boleh mengaitkan merdeka dari aspek sejarah dan sosio-politik negara pada suatu ketika dahulu dan kita boleh berkongsi semangat perjuangan tokoh-tokoh pembebasan tanahair dari belenggu penjajahan melalui sumber primer dan sekunder yang sahih dan berintegriti serta memasukkan kriteria yang kreatif dan inovatif dalam proses penyampaian yang lebih efektif.Kita tidak boleh begitu alpa dengan menghidangkan sebegitu banyak rancangan berbentuk hiburan sambil ‘count down’ detik-detik kemerdekaan akan diraikan tepat jam 12 malam dengan rangkaian lagu-lagu hiburan yang langsung tiada kena mengena dengan tema kemerdekaaan itu sendiri.Berbaloikah dengan menyuntik elemen yang dicedok dari barat yang langsung tidak menyumbang dari segi apapun kearah modal insan?Pun begitu,kita masih boleh menikmati hiburan tetapi dengan mengaplikasikan elemen ‘patriotik’ seperti lagu-lagu yang dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad,contohnya.Mungkin lagu-lagu berbentuk keagamaan yang diolah menjadi versi ‘patriotik’ boleh dijadikan alternatif sebagai daya tarik untuk generasi baru.

Kemerdekaan yang paling sukar adalah kemerdekaan dalam membebaskan minda daripada cengkaman budaya yang telah sebati menjadi darah daging atau barangkali telah mati  di dalam akal fikiran kita selama ini.Apakah budaya-budaya tersebut?Lihatlah di sekeliling kita dengan hati dan fikiran yang terbuka luas.Pada hari ini,kita menjadi manusia yang telah hilang sifat kemanusiaannya di dalam diri kerana terlalu individualistik dan materialistik.Jika di jalanraya,kita memotong di garisan ‘double line’,memotong lampu isyarat merah umpamanya ,apabila makan di dalam kenderaan,kita membuang sesuka hati pembalut dan pembungkus makanan di luar tingkap kenderaan.Kita juga memarkir kereta tanpa mengambilkira ruang parkir yang disediakan. Apakah sikap kita tersebut sealiran dengan ‘ketamadunan’ yang telah kita kecapi selama ini?

Apabila kita bercakap tentang kemerdekaan, sepatutnya kita telah menjadi sebuah negara bangsa yang bertamadun.Bertamadun dalam segenap lapisan perkara merangkumi sosio budaya,politik,ekonomi malahan dalam pembangunan insan dan rohani itu sendiri.Tidak terkecuali juga dalam penguasaan ilmu dan teknologi moden yang berbalik kepada falsafah ‘hanya kerana Tuhan’ kerana tanpa Tuhan dan agama,akan menghasilkan sains dan teknologi yang hanya merosakkan alam dan manusia sejagat.Tidak ada maknanya melaungkan kemerdekaan sekiranya pemikiran kita masih di takuk lama dan enggan melakukan anjakan paradigma dari segenap segi.

Semoga kita menjadi ibu bapa,guru-guru dan masyarakat yang mampu mentarbiah dan mensosialisasikan generasi muda bermula dari dalam keluarga itu sendiri supaya kita benar-benar memaknakan erti sebuah ‘KEMERDEKAAN’.

Salam Merdeka!!!

Comments

Popular Posts