Berkongsi Kebahagiaan






Saya tertarik dengan suatu iklan Hari Raya yang memaparkan tentang satu misi dan visi berkaitan kebahagiaan.Kumpulan remaja ini melabelkan di botol-botol minuman dengan perkataan yang ada tertulis 'Sebarkan Kebahagiaan' bertujuan untuk berkongsi kebahagiaan dengan semua orang.Berkongsi makanan dan minuman,berkongsi idea dan tenaga serta lain-lain lagi bentuk perkongsian yang wajar.Ya,berkongsi kebahagiaan untuk menggembirakan hati semua orang di sekeliling kita.Kita boleh berkongsi apa sahaja kebahagiaan dan tidak semestinya dalam bentuk kebendaan semata-mata.

Apa sahaja yang kita miliki di dunia ini,yakinlah; ia bukanlah milik kita yang abadi selamanya,dan belum tentu apa sahaja yang kita miliki adalah 'hak milik' kita yang mutlak.Segalanya adalah kepunyaan Allah yang akan diambil pada bila-bila masa sahaja mengikut ketentuan Takdir dan waktu, walaupun ia adalah seorang insan yang sangat kita kasihi dan sayangi.Hatta,harta benda yang melimpah ruah yang kita cari siang dan malam itu juga belum tentu semuanya 'hak milik' yang boleh kita bermewah megah dengannya.Apa sahaja yang kita miliki adalah pinjaman semata-mata yang hadir untuk menguji.

Ikutlah resmi padi,semakin berisi semakin tunduk.Jika pada hari ini kita bahagia dengan harta benda yang melimpah ruah,berkongsilah kebahagiaan itu dengan insan-insan yang kurang bernasib baik di sekeliling kita.Sekali-sekala,masukkan di dalam agenda  musim cuti persekolahan anak-anak kita supaya mereka boleh berkongsi kebahagiaan dan kasih sayang dengan meraikan warga-warga emas di pusat penjagaan mahupun anak-anak yatim supaya mereka terdidik dengan perasaan lebih prihatin dan bertanggungjawab.Contohnya aktiviti meraikan hari jadi,bergotong-royong dan sebagainya.Secara tidak langsung,kita turut membajai jiwa dan rohani anak-anak kita supaya mereka lebih bersyukur dan berterima kasih  dengan apa yang telah mereka miliki pada hari ini.Ia juga merupakan langkah permulaan untuk mendedahkan mereka dengan kerja-kerja sosial dan sukarela.

Kebahagiaan dan ketenangan akan hadir dengan sendirinya sekiranya kita meluaskan kebahagiaan yang kita miliki untuk dikongsi dengan mereka yang memerlukan,Insya Allah.




Comments

Popular Posts