Skip to main content
Seronoknya Baca Al Quran
Pagi-pagi dalam perjalanan pergi kerja,pasang radio IKIM FM,seronok dengar ustaz dalam 'Motivasi Pagi' bercakap tentang kehebatan Al Quran untuk manusia sejagat tanpa mengira sempadan agama,bangsa dan negara.Al Quran adalah perkataan dari Allah S.W.T. sebagai anugerah tak ternilai untuk hamba-hambaNYA yang mahu berfikir.Kebanyakan daripada sarjana dan orientalis Barat memeluk Islam setelah mengkaji kebenaran isi kandungan Al Quran yang terkandung di dalamnya 'gedung ilmu' merangkumi pengetahuan tentang sains tulin mahupun sains kemanusiaan serta lain-lain bidang ilmu pengetahuan.
Kenapa kebanyakan dari orang Islam sendiri pada hari ini, tidak terkesan apabila membaca Al Quran,jika hendak dibandingkan dengan mereka yang bukan berasal daripada Islam itu sendiri?Jawapannya kerana apabila kita membaca Al Quran,kita tidak membaca dengan maksud dan tafsirannya itu sendiri;maka bagaimana untuk kita dapat memahami secara eksklusif intisari dan intipati Al Quran dengan menyeluruh dan mendalam?Al Quran sebaik-baiknya dibaca dengan mendalami maksudnya supaya kita dapat mengambil pengajaran dan iktibar dari setiap yang disampaikan.
Sumber ilmu yang dicedok dari Al Quran telah diaplikasikan dalam kehidupan moden pada hari ini seperti pengetahuan tentang kejadian embriologi, fungsi kulit sebagai perlindungan untuk manusia,kajian tentang jasad Firaun yang diawet,fungsi solat dalam mengawal stress,kawalan terhadap pemakanan,khasiat madu untuk kesihatan dan lain-lain lagi khazanah ilmu yang memanfaatkan diri sebagai panduan untuk kelangsungan hidup.
Mengamalkan Al Quran sebagai sumber rujukan harian kita perlulah dijadikan istiqamah dalam kehidupan sehari-hari.Ajaran Al Quran sangat mempengaruhi jiwa dan rohani kita yang sentiasa dahagakan ketenangan dan kebahagiaan itu secara fitrahnya, selain dijadikan bekalan pahala untuk akhirat kelak.
Comments
Post a Comment