Kamu Bukan Tuhan

Islam agama kasih dan sayang sesama insan



Sudah tiba masanya untuk melihat secara lebih serius isu-isu lapuk yang semakin berkulat di dalam sesebuah komuniti masyarakat yang semakin kompleks dan rumit ini.Kita tidak perlu bercakap tentang soal 'ketamadunan' kerana ada banyak perkara yang 'gagal' untuk kita menghampiri dengan istilah ketamadunan itu sendiri.Bertamadunkah kita?Tidak ada makna apapun tentang 'tamadun' sekiranya kita masih duduk sesedap rasa di 'keempukan' kusyen dengan bilik berhawa dingin hingga ke sum-sum tulang tetapi kita tidak pernah untuk mengambil tahu dan mengambil peduli tentang siapa dia?apa dia?kenapa dia?mengapa dia dan bagaimana dia?Apa isunya?


Apakah dengan menganggap 'autoriti' yang kita miliki,bermakna kita juga punya 'autoriti' untuk menghukum itu salah dan itu haram?Pada hari ini kita tidak lagi mahu mengambil tahu tentang 'siapa,apa,kenapa,mengapa dan bagaimana' perkara itu boleh berlaku tetapi kita pada hari ini menjadi masyarakat yang akan menjadi penghukum paling kejam tanpa mengkaji dan melihat struktur sesuatu kronologi peristiwa yang berlaku.Apatah lagi untuk mencari jalan keluar atau penyelesaian sesuatu permasalahan.Jika pada hari ini berlaku kes pengguguran anak luar nikah?Siapakah yang harus kita tundingkan jari untuk menyalahkan?Jika pada hari ini berlaku kes murtad yang berleluasa,siapakah yang harus kita tundingkan jari untuk menyalahkan?Jika pada hari ini masih ada komuniti kita yang terlibat dengan najis dadah dan sebagainya,siapakah yang harus kita tundingkan jari untuk menyalahkan?Lihatlah dan pandanglah segala panorama negatif di sekeliling kita dengan pandangan hati yang luhur dan tulus dan tundinglah jari itu kearah diri kita sendiri kerana sebagai masyarakat yang memegang ijazah 'ketamadunan', kita turut bertanggungjawab untuk menyalahkan diri sendiri kerana tidak menjadi masyarakat yang peka dan sensitif dengan manusia dan persekitaran,kita tidak lagi memegang semangat 'masyarakat penyayang','masyarakat prihatin'.


Kita menganggap diri sebagai manusia 'tersempurna' sehingga meletakkan semua kesalahan dan tragedi jenayah di bahu yang memikul tanpa sedikitpun perasaan simpati dan empati.Sekiranya di komuniti kita berlaku kes anak luar nikah akibat mangsa rogol kita akan terus-menerus melabelkan tragedi itu seolah kita adalah Tuhan yang menentukan dosa dan pahala,syurga dan neraka.Pernahkah kita memikirkan apakah impak dan implikasinya kepada mereka yang berkenaan?Pernahkah kita terfikir label-label negatif yang telah kita berikan itu hanya akan mempengaruhi minda dan emosi mereka yang tidak berkesudahan dan tiada berpenghujung itu?Adakah kita hanya mampu menggelengkan kepala setelah berlakunya tragedi lebih tragis seperti pembunuhan diri akibat terbeban hati dan perasaan dengan tohmahan dan umpat keji kita sebagai masyarakat?Dimanakah peranan dan tanggungjawab kita untuk menarik mereka ke arah yang lebih baik dan positif?Sekali sekala,beradalah di tempat mereka,cubalah untuk memahami dan tidak menyalahkan kerana sesuatu yang berlaku mempunyai 1001 keajaiban untuk diterokai dan diteladani.Berikan mereka peluang dan kesempatan untuk bertaubat dan memperbaiki diri di dunia untuk kecemerlangan di akhirat sana tanpa perlu menjadi 'hakim' yang menjatuhi hukuman gantung sampai mati.


Mampukah kita di sana nanti untuk memandang wajah Tuhan kerana telah menjadi Tuhan di dunia terlebih dahulu dengan menghukum segala salah dan silap manusia dengan syurga dan neraka?Janganlah berani mendabik dada sambil menghukum dosa dan pahala , halal dan haram sekiranya kita sendiri masih belum ketahuan di mana akhirnya duduk letak kita di sana nanti.Ironinya,ada segelintir di luar sana yang mengaku beragama Islam,bekerja di agensi-agensi kerajaan yang Islamik tetapi menempelak mualaf atau saudara baru dengan 'pemanis mulut', 'You all masuk Islam kerana duit kot?' Apakah itu sikap kita yang dikatakan bertamadun?Jika kita sendiri tidak mampu untuk berdakwah menyebarkan Islam,janganlah menabur duri dan racun di jalanan sehingga menyukarkan proses pengislaman mereka yang telah bersusah-payah berkorban  jiwa dan raga demi sebuah kebenaran. Tidak cukup dengan itu,ada segelintir di luar sana yang memulaukan remaja-remaja yang terlanjur sehingga melahirkan anak luar nikah dan keaiban itu terus dicanangkan dari satu generasi ke satu generasi lain.Apakah itu sikap kita sebagai masyarakat yang kononnya bertanggungjawab dan prihatin?Subhanallah,di manakah tangan-tangan yang ikhlas dan tulus untuk menarik mereka-mereka ini untuk keluar dari dunia kegelapan supaya menuju ke dunia yang lebih bahagia?Tidakkah kita rasa berdosa dengan Tuhan kerana terlebih dahulu menghukum mereka di dunia ini?Bagaimanakah hendak dijawab di hadapan Tuhan nanti di sana sekiranya kita sebagai masyarakat 'gagal' untuk menjalankan fungsi dan peranan sebagai khalifah yang diamanahkan untuk menyeru manusia ke arah kebaikan?Apakah kita pasti kita benar-benar 'bersih' dan 'suci' dari noda dan dosa?Tunjukkanlah kasih sayang kita sesama insan yang memerlukan, sesuai dengan fitrah ajaran Islam itu sendiri yang penuh dengan kasih dan sayang di dalamnya.


Kita sebagai salah seorang daripada anggota masyarakat tanpa mengira status dan kedudukan,tanyakan kepada diri;apakah peranan yang telah kita mainkan untuk membentuk komuniti di sekeliling kita supaya mereka tidak terjebak dengan gejala negatif yang tidak sihat dan janganlah hanya pandai menunding jari kepada pihak-pihak tertentu sahaja sekiranya kita sendiri tidak pernah untuk 'turun padang',keluar daripada zon selesa untuk melihat,mengkaji,menyiasat dan sebagainya persoalan isu-isu kemasyarakatan di sekeliling kita yang semakin hari semakin parah dan tenat.Jangan nanti di sana kita dipersoalkan Tuhan apa yang telah kamu lakukan sebagai masyarakat?sebagai alim ulamak?sebagai ahli politik?sebagai pegawai Jabatan Agama Islam?sebagai pak menteri?sebagai ibu bapa?sebagai guru?sebagai anak dan sebagainya.Setiap daripada kita mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri yang juga merupakan 'amanah' daripada Tuhan dan lakukanlah setiap yang telah diamanahkan tersebut dengan sebaik-baiknya.Semoga kita mendapat keberkatan dariNYA.

Comments

Popular Posts