MASSA dalam sejarah
KINI HANYA TINGGAL KENANGAN |
Semakin lama semakin berharga.Itulah yang dapat saya ungkapkan ketika membelek-belek koleksi Majalah Berita Mingguan atau ringkasnya MASSA.Betapa tidaknya?Laporan yang dimuatkan di dalam MASSA pernah memenangi Anugerah Kewartawanan Malaysia, Institut Akhbar Malaysia 17 Mac 2000.Laporan-laporan berbentuk ilmiah dan akademik ini kini hanyalah tinggal dalam sejarah dan kehilangannya adalah sebagai 'paras ukur' tentang tahap pembacaan rakyat Malaysia yang semakin sukar mendekati bahan bacaan berat untuk mengasah minda.Sekadar mengulas sebahagian isu diharapkan berupaya menghilangkan kerinduan yang tidak bertepi terhadap majalah ini.
Kandungannya terbahagi kepada beberapa bahagian seperti Nasional,Laporan Khas,Wawancara,Fokus,Antarabangsa,Ekonomi,Saujana,Santai,Filem,Kolumnis dan Tetap.Apa yang menarik perhatian adalah susunatur MASSA yang dimulai dengan Peta Berita MASSA.Terdapat gambarajah peta semenanjung Malaysia,Sabah dan Sarawak serta peta dunia.Di kiri kanan ruang terdapat berita-berita tempatan di setiap negeri sementara di atas terdapatnya berita-berita antarabangsa.Dengan hanya membayar RM6 pada setiap minggu,anda berupaya menjilid semua pengetahuan dalam minda sebagai seorang pemikir.
Ruangan Petah Dan Lantang pula memuatkan komentar-komentar berbentuk spontan dipetik daripada tokoh-tokoh politik,berkepentingan sehinggalah kepada orang awam perseorangan yang antaranya berbunyi ' Kita hanya ada satu bendera.Kita hanya ada satu perlembagaan.Kita hanya ada satu kerajaan ' --- Presiden Filipina,Joseph Estrada memberi ingatan akan bertindak keras terhadap puak pemisah Islam sehingga mereka mengiktiraf kuasa kerajaan pimpinannya sekarang.(Dipetik dari MASSA Bil.245,17 Jun-23 Jun 2000)
Isu-isu nasional yang dicernakan dalam MASSA,selain garapan isu politik,ia turut merupakan isu-isu terpilih dan terkini yang menjurus kepada budaya berfikir.Antara isu yang dilaporkan adalah seperti Faktor Kemanusiaan Dalam Perdagangan,Rasuah Dalam Pelupusan Tanah Kerajaan,Isu Zakat,Kenaikan Kos Haji,Isu Memali dan lain-lain lagi.Sementara Isu-isu antarabangsa pula mengupas isu-isu dunia antarabangsa dari aspek sosio politik,ekonomi,bencana alam sehinggalah kepada peperangan,kebuluran dan penderitaan manusia sejagat.
Sekiranya ada yang mengatakan laporan politiknya bersifat 'bias'kepada sesuatu parti politik sahaja, ia mungkin hanyalah satu prasangka jumud yang bebal.Dalam ruangan 'Wawancara' contohnya;kita dapat melihat bagaimana Karpal Singh,Abdul Hadi Awang,Muhyiddin Yassin serta lain-lain politikus samaada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang menjawab sesuatu isu mengenai pegangan ideologi masing-masing tanpa 'off record'.Wawancara tidak hanya tertumpu kepada ahli politikus semata-mata tetapi juga kepada tokoh-tokoh agamawan, tokoh budaya tanahair dan aktivis sosial.
Buai Laju-Laju kupasan Ku Seman Ku Hussain antaranya mempersembahkan dalam bentuk santai isu-isu sosio budaya dari pelbagai aspek antaranya : Di Sebalik Hip Hop dan Rap kita dapat melihat bagaimana remaja kulit hitam di Amerika memprotes sistem sosial yang rasisme.Boleh juga dianggap muzik jalanan ini yang kini menjadi sebegitu popular sebagai saluran untuk mereka yang tiada suara menyuarakan suara mereka.Beliau juga dalam keluaran MASSA lain turut menyebut tentang mentaliti penonton Melayu yang lebih mengutamakan filem-filem dari Bollywood berbanding yang lebih patriotik dan ada jati diri untuk pembangunan bangsa.
Kehilangan MASSA tiada galang gantinya.
Comments
Post a Comment