Salah Siapa?





"Asal bukan anak saya sudahlah..."
"Anak siapalah yang masih melepak dan membuat bising walaupun sudah masuk waktu Maghrib ni.Tak ingat nak solat ke?"
"Nakal betul budak-budak yang melepak di kompleks membeli belah itu."
"Hish...anak siapalah yang asyik merempit siang, malam, pagi, petang ni?"



Dialog-dialog diatas adalah dialog yang selalu kita dengar walaupun kelihatannya tidak menyumbang apa-apa pun dari aspek moralitinya.Apakah impak di masa akan datang sekiranya mentaliti masyarakat terus-terusan dijumudkan dengan kenyataan seperti diatas tanpa sebarang langkah penyelesaian samaada dalam jangka masa pendek mahupun dalam jangka masa panjang?Sikap menyalahkan orang itu dan orang ini sewajarnya telah hilang dalam masyarakat yang semakin bertamadun ini.Kita perlu bergerak secara berjamaah dengan lebih proaktif dalam mengenalpasti punca-punca masalah dan mewujudkan satu ikatan sosial yang lebih jitu dan ampuh dalam melaksanakan satu unit kawalan sosial supaya penyelewengan terus disekat dari merebak ibarat barah yang membunuh di dalam diam.Kita tidak boleh lagi bersilang kaki sambil mengharapkan kawalan sosial formal seperti PDRM dan lain-lain organisasi semata-mata.

Persoalannya,masih wujudkah ikatan sosial di dalam sesebuah kelompok masyarakat dalam sesuatu kariah itu sendiri?Di sini,ikatan sosial memainkan peranan yang penting sebagai suatu kuasa kawalan keatas tingkah laku yang tidak mematuhi norma sosial sesuatu kumpulan atau masyarakat.Ia dianggap sebagai perlakuan yang buruk atau luar biasa.Di dalam konteks sosiologi,ia disebut sebagai perlakuan devian iaitu lencongan tingkahlaku yang dianggap menyimpang dan melanggar tatasusila yang ditentukan oleh sesuatu kelompok masyarakat.Selalunya,perlakuan-perlakuan tersebut akan disusuli dengan rasa marah dan tidak puas hati sesuatu kelompok masyarakat.

Albert Cohen(1966 seperti di dalam Rohana Yusof;2001)menyebut; perlakuan devian ialah perlakuan yang melanggar jangkaan yang diinstitusikan iaitu jangkaan yang dikongsi dan diiktiraf sebagai sah dalam sesuatu sistem sosial.Segala bentuk tingkahlaku yang menyeleweng seperti merempit,mencuri,menghisap dadah dan lain-lain lagi merupakan contoh apa yang diistilahkan sebagai devian.

Didalam sesuatu kariah atau kawasan,perlu wujud suatu ikatan sosial supaya suatu bentuk kawalan dapat dilaksanakan dari luar,contohnya fungsi Ahli Jawatan Kuasa Masjid perlulah terdiri daripada pelbagai latar profesion supaya penggelembengan ilmu dapat digabungkan untuk menghasilkan suatu formula menyelesaikan penyelewengan yang berlaku dari dalam kelompok kawasan atau kariah itu sendiri.Kita tidak boleh lagi menuding jari dan menyalahkan sesiapa kerana adalah menjadi tanggungjawab kita bersama dalam menyelesaikan sesuatu isu membabitkan ahli atau anak buah di dalam kelompok kita sendiri.

Fungsi masjid itu sendiri perlulah diperbaharui sesuai dengan kehendak semasa dan tidak lagi terhad hanya kepada solat berjemaah semata-mata.Masjid perlu diwartakan untuk aktiviti sosial yang menjurus kepada kemantapan disiplin jiwa dan rohani.Aktiviti-aktiviti yang mampu mendekatkan remaja dengan masjid perlulah seiring dengan tujuan dan matlamat supaya kekosongan waktu mereka dapat diisi dengan lebih bermanfaat dan bukannya dengan lencongan tingkahlaku yang hanya merugikan masa depan mereka dan juga masyarakat itu sendiri.

Semoga budaya jamaah di dalam masyarakat berupaya membentuk kawalan luar dalam membentengi penyelewengan yang semakin parah seterusnya mendapat keredhaan dariNYA.


Rujukan

Rohana Yusof 2001.Asas Sains Sosial;Dari Perspektif Sosiologi.DBKL

Comments

Popular Posts